YUDHISTIRA gembira prestasi jentera yang menggunakan enjin baru.
YUDHISTIRA gembira prestasi jentera yang menggunakan enjin baru.

Sepang: Pelumba Indonesia Ahmad Yudhistira melakukan kejutan apabila muncul pelumba terpantas SuperSports 600cc pada pusingan pertama Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Antarabangsa Sepang, semalam.

Pelumba Manual Tech KYT Kawasaki itu mencatat masa terbaik 1:05.272s yang dilakukan pada sesi latihan kedua, memperbaiki catatan 1:05.634s dicatat ketika sesi latihan pertama.

Juara berganda SuperSports 600cc di Malaysia musim lalu, Mohd Zamri Baba (Musashi Boon Siew Honda Racing) kekal memberikan saingan kompetitif apabila muncul pelumba kedua terpantas dengan mencatatkan masa terbaik 1:05.356s. Pelumba Jepun Makoto Inagaki (Akeno Speed Racing) muncul pelumba ketiga terpantas dengan masa 1:05.499s yang dicatat ketika mendahului sesi latihan pertama.

“Keadaan saya dan jentera lebih baik berbanding sesi ujian pramusim lalu. Ketika itu keadaan litar tidak begitu baik kerana kesan tayar selepas perlumbaan Formula 1,” jelas Yudhistira.

“Tapi kami lebih bersedia kali ini. Jentera kami berada pada tahap terbaik dan hasil data yang dikumpul ketika sesi ujian pramusim banyak membantu meningkatkan lagi prestasi jentera, ditambah dengan penggunaan enjin yang baru untuk perlumbaan minggu ini.”

Sementara itu, saingan Underbone 130cc menyaksikan pelumba Malaysia, Norizman Ismail (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) mencatat masa terpantas dengan catatan 1:20.667s untuk menjadi pelumba tunggal melakukan di bawah 1:21s.

Ahmad Fazli Sham (PETRONAS Yamaha Maju Motor) kedua terpantas dengan 1:20.667s diikuti pelumba Indonesia Ferlando Herdian (BKMS Indonesia Racing Team) dengan 1:21.230s.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2015 @ 5:02 AM