Batu Kawan: Insiden terjatuh pada pertengahan sesi ujian masa tidak menghalang Mohd Zamri Baba mencatat masa terpantas bagi kategori CP130 pada Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2015 di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang, semalam.

Zamri terjatuh selepas 15 minit sesi ujian masa apabila cuba mengatasi catatan masa terpantas ketika itu milik dua penunggang PETRONAS Yamaha Maju Motor, Abdul Muhaimin Roslan dan Ahmad Fazli Sham.

Insiden itu bagaimanapun tidak mencetus kerosakan besar terhadap jentera dan jurutera pasukan berjaya memperbaiki kerosakan kecil yang dihadapi bagi membolehkan Zamri keluar semula ke litar ketika saingan berbaki beberapa minit saja.

Pelumba Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing itu berjaya mencatat masa terpantas 53.254 saat ketika saingan berbaki dua minit manakala rakan sepasukan, Mohd Hafiz Nor Azman, pelumba muda bagi pasukan SCK mengekori di belakang dengan masa 53.394s.

Muhaimin yang mendahului sebahagian besar sesi ujian masa sekadar mencatat masa ketiga terpantas, 53.404s.

“Saya puas hati dengan keputusan hari ini dan saya juga gembira kerana dapat mengekalkan momentum yang ditunjukkan sewaktu di Temerloh tempoh hari,” kata Zamri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2015 @ 5:18 AM