CHONG Wei (kanan) menjawab pertanyaan pemberita sebaik tiba di KLIA, semalam.
CHONG Wei (kanan) menjawab pertanyaan pemberita sebaik tiba di KLIA, semalam.
Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Debaran menanti tiga minggu sebelum keputusan diumumkan tidak mengganggu emosi pemain nombor satu negara Datuk Lee Chong Wei apabila turun berlatih seperti biasa bermula hari ini.

Riak wajahnya cukup tenang sekembalinya ke tanah air awal pagi semalam dengan bekas juara seluruh England itu berkata, dia kini lebih gembira selepas tamatnya proses pendengaran kes yang berlangsung di Amsterdam, Belanda Sabtu lalu.

Chong Wei kini hanya mampu menghitung hari dan apa yang boleh dilakukan adalah meneruskan latihan dan menunggu keputusan diumumkan.

“Saya tidak boleh menggambarkan apa yang dirasai ketika ini dan kini tiada apa yang boleh dibuat melainkan menunggu saja.

“Pendengaran kes itu sudah selesai dan saya rasa lebih tenang selepas menunggu enam bulan. Hanya perlu menunggu tiga minggu lagi,” katanya.

Chong Wei diiringi Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Kenny Goh dan anggota Majlis BAM Jadadish Chandra ketika kesnya didengar selama lapan jam di bilik Saturn di Hotel Sheraton Amsterdam Airport.

Proses pendengaran itu bermula jam 9.25 pagi (3.25 petang waktu Malaysia) di depan tiga anggota panel dengan dua daripada mereka berasal dari Eropah dan seorang India.

“Saya tidak boleh komen mengenai keputusan itu kerana semuanya bergantung kepada panel itu, tapi saya gembira kerana kes itu berlangsung dengan baik,” katanya.

Bagaimanapun menurut Chong Wei sebarang keputusan berhubung kesnya itu akan dihantar kepada BAM, bukan dirinya.

Chong Wei, 33, digantung Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas didapati positif menggunakan bahan terlarang dexamethasone ketika beraksi pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, pada Ogos 2014.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Beijing 2008 dan London 2012 itu digantung pada 11 November 2014 sementara menunggu kesnya didengar di Amsterdam Sabtu lalu.

Berkuat kuasa 1 Januari tahun ini, BWF meminda peraturan doping dengan mereka yang disahkan mengambil bahan terlarang boleh digantung sehingga empat tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 7:43 AM