Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengesahkan lokasi Panel Pendengaran Doping Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengenai kes Datuk Lee Chong Wei akan diadakan di Amsterdam, Belanda.

Bagaimanapun, beliau berkata, tarikh baru perbicaraan itu masih belum dipastikan selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak bersetuju ia diadakan pada 8 Disember kerana terlalu awal dan perlu mempersiapkan diri untuk mempertahankan pemain nombor satu dunia itu yang disahkan positif mengambil bahan terlarang di Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen Ogos lalu.

“Sebelum ini BWF memberitahu BAM pendengaran akan diadakan di Amsterdam pada 8 Disember. Bagaimanapun peguam yang kami lantik, Mike Mogran menulis surat kepada BWF untuk menunda perbicaraan itu kepada tarikh lain,” katanya di Pusat Belia Antarabangsa semalam.

Jelasnya, ia bagi membolehkan peguam berkenaan menyediakan keterangan dengan lebih terperinci dengan BAM akan dimaklumkan mengenai tarikh baru.

“Ini bagi membolehkan kita dapat menyediakan kertas pembelaan yang lebih terperinci, jadi perlukan sedikit masa. Sekarang pihak BAM belum menerima jawapan sama ada permohonan untuk menunda perbicaraan itu ke tarikh baru dipersetujui atau tidak,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden BAM Datuk Norza Zakaria berkata, BAM akan mengetahui tarikh baru perbicaraan itu sekurang-kurangnya minggu ini.

“Memang benar lokasi Panel Pendengaran Doping BWF akan diadakan di Amsterdam dan ia tetap akan diadakan di situ walaupun permintaan kita untuk melanjutkan ke tarikh lain.

“Bila tarikh baru itu sudah ditetapkan, BAM akan mengadakan sidang media untuk mengumumkan secara terbuka,” katanya.

Chong Wei yang muncul naib juara di Kejohanan Dunia 2014 selepas tumpas kepada pemain China, Chen Long dalam perlawanan akhir sekarang ini digantung sementara BWF daripada menyertai sebarang kejohanan sehingga kes doping berkenaan dibicarakan.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2008 (Beijing) dan 2012 itu (London) disahkan positif mengambil bahan terlarang, dexamethasone.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 5:02 AM