Oleh Ferzalfie Fauzi

DATUK Lee Chong Wei terpaksa menunggu sekurang-kurangnya tiga minggu lagi untuk mengetahui keputusan kesnya yang kini dibicarakan di Schiphol, Amsterdam.

Panel Pendengaran Doping Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang bermula, pada 4 petang hingga 11.30 malam tadi, masih belum membuat sebarang keputusan.

Dikhabarkan, panel yang mengendalikan perbicaraan Chong Wei, akan meneliti semua jawapan dan bukti sebelum mengumumkan keputusan dalam tempoh tiga minggu.

Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenny Goh yang menemani Chong Wei, berkata kes pemain perseorangan negara itu sangat istimewa.

"Seperti saya katakan sebelum ini kes ini sangat istimewa dan Chong Wei perlu tabah serta faham.

"Bukan senang tangani isu yang agak tertekan ini. Kita sudah berikan segala bukti yang baik kepada semua panel. Akhir sekali kita serahkan kepada mereka untuk membuat keputusan," katanya.

Chong Wei yang sebelum ini didapati bersalah menggunakam bahan terlarang `dexamethasone’ di Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen.

Dia dikenakan penggantungan sementara oleh BWF sejak November lalu dan sedang bergelut untuk kembali semula ke gelanggang bagi mengumpul mata melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 Rio.

Pemenang pingat perak Olimpik 2008 (Beijing) dan 2012 (London) mengharapkan hukuman ringan (6 bulan) agar dapat mencapai cita-cita untuk meraih emas sulung negara di temasya berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2015 @ 12:41 AM