DEKORASI ringkas dan santai di Spa Zen cetuskan rasa damai serta selesa pada pengunjung.
DEKORASI ringkas dan santai di Spa Zen cetuskan rasa damai serta selesa pada pengunjung.
RITUAL rendaman kaki campuran garam mawar dan pati tea tree dilakukan sebelum urutan.
RITUAL rendaman kaki campuran garam mawar dan pati tea tree dilakukan sebelum urutan.
PAKEJ lulur dan mandian bunga turut disediakan bagi yang inginkan rawatan holistik.
PAKEJ lulur dan mandian bunga turut disediakan bagi yang inginkan rawatan holistik.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Tubuh sihat dan segar lambang kepada fizikal serta mental yang cergas. Tubuh yang sihat dan segar juga bukan saja memberi manfaat kepada diri sendiri malah pada individu lain di sekeliling kita.

Apa definisi tubuh sihat dan segar bagi anda? Bagi penulis, tidur atau rehat yang cukup mula menjadi definisi peribadi terutama kala diri menjangkau usia ke tiga siri.

Namun, sesekali tubuh juga ingin dibelai dan diberi perhatian khusus lalu rawatan urutan lebih menjadi perhatian berbanding yang lain.

Urutan juga bukan sebarang urutan kerana jika tersilap memilih rawatan, bukan hanya fizikal yang merana, malah membawa hingga ke aspek psikologi.

Pernah mencuba urutan spa di sebuah hotel popular di Subang Jaya, Selangor, namun bukan kelegaan yang dirasai, tetapi tubuh mula rasa sengal dan membengkak kurang 24 jam selepas sesi itu.

Justeru, penulis agak berhati-hati apabila menerima pelawaan sesi rawatan urutan di spa hotel, bimbang diri merana lagi.

Boleh dihitung kekerapan penulis ke spa dalam hotel berbanding me­ngunjungi spa persendirian yang memang khusus untuk rawatan seperti itu.

Apabila pelawaan diterima daripada pengurusan Spa Zen di Hotel Novotel, Kuala Lumpur, mulanya penulis gusar juga.

Namun sejurus melangkah ke ruang lobi spa terbabit, haruman serai dan aromaterapi segera menyapa diri lalu dihidangkan dengan teh halia buatan sendiri.

Jelas juruterapi kanan, Siti Wan Hamidah Wan Nordin, penggunaan bahan alam semula jadi dan buatan sendiri menjadi antara tunjang utama dalam majoriti rawatan di spa itu.

“Selain teh yang disediakan sendiri, beberapa bahan lain seperti campuran garam, herba bunjut, minyak pati dan sebagainya tidak mengandungi bahan kimia.

“Walaupun ada beberapa bahannya tidak dihasilkan di spa ini, kami mengimportnya daripada pembekal di Bali, Indonesia yang masih mengamalkan kaedah rawatan tradisional.

“Dengan cara itu kami dapat pastikan bahan yang digunakan sesuai dan selamat untuk setiap rawatan,” katanya.

Rawatan tumpuan pastinya pada Zen Signature iaitu rawatan yang menggabungkan tiga jenis urutan selama 90 minit.

Urutan Bali, Swedish dan tradisional silih berganti bagi meredakan tekanan dan melegakan otot yang kelesuan.

Sebelum sesi dimulakan, ritual rendaman kaki dalam air suam bercampur garam mawar dan pati tea tree dilakukan.

Rasionalnya, kaki membawa kotoran lalu sebaik-baiknya dibersihkan terlebih dulu sebelum memulakan sesi urutan.

Tubuh kemudiannya diberi urutan pemanas badan ringan agar tidak memberi kejutan pada otot tubuh.

Pakej rawatan tubuh di spa ini sememangnya banyak menjurus kepada penyahtoksikan bagi proses relaks menyeluruh dan membantu proses mengurangkan tekanan.

Sebagai tambahan, lulur susu dan bunga disediakan bagi mereka yang inginkan rawatan tubuh secara holistik.

Juga beberapa pakej lain antaranya rawatan wajah dan bebola herba.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2015 @ 8:38 AM