Selepas sekian lama membujang sejak berpisah dengan Kareena Kapoor dan sering digosipkan dengan ramai aktres lain, akhirnya Shahid Kapoor mengambil keputusan menamatkan zaman bujangnya bersama gadis berasal dari New Delhi bernama Mira Rajput.

Pasangan itu dilaporkan sudah bertunang pada 14 Januari lalu .

Menurut sumber, Mira adalah penuntut tahun tiga di sebuah universiti dalam jurusan Bahasa Inggeris. Sebelum itu Mira pernah belajar di Vasant Valley School di New Delhi.

Bagaimanapun pasa-ngan itu tidak seperti mereka yang lain berjumpa dan kemudian dilamun cinta, sebaliknya pertemuan mereka diatur kumpulan agama iaitu Radha Saomi Satsang Beas.

Shahid dan bapanya, Pankaj Kapur adalah pengikut kumpulan itu.

Ibu Shahid sudah lama mahukan anaknya itu berkahwin kerana ramai rakan artisnya yang lain sudah mendirikan rumah tangga.

Walaupun berita pertunangan itu sudah diketahui ramai namun Shahid dan Mira enggan bertemu media.

Dalam pada itu, beberapa hari lalu bapa Shahid dikatakan pergi berjumpa ibu bapa Mira di kediaman mereka di Chhatarpur.

Pemilihan Mira sebagai calon isterinya bersesuaian dengan hasrat Shahid yang mahu mencari pasangan hidup dalam kalangan orang biasa dan bukannya artis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2015 @ 1:31 PM