KANAK-KANAK sering bersenam kurang kemungkinan alami berbanding kelompok tidak aktif.
KANAK-KANAK sering bersenam kurang kemungkinan alami berbanding kelompok tidak aktif.
Norlaila Hamima Jamaluddin


Siapa kata kemurungan adalah hak eksklusif golongan dewasa? Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 mendapati 30 peratus rakyat negara kita dikesan mengalami masalah mental. Kumpulan paling tinggi mengalami masalah ini adalah kelompok umur dari 16 hingga 19 tahun dan golongan berpendapatan rendah.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan juga mendedahkan dua daripada 10 pelajar sekolah dikesan mengalami gejala penyakit mental kronik yang mungkin bertambah buruk jika tidak diberikan rawatan segera.

Ada banyak faktor yang boleh menyebabkan kemurungan seperti masalah kewangan, pengangguran, tekanan dan masalah keluarga termasuk perceraian. Selain itu, faktor kesihatan, sejarah kesihatan keluarga, persekitaran dan penyalahgunaan bahan terlarang juga boleh memberi kesan besar kepada kesihatan mental kanak-kanak dan remaja.

Sejak dulu lagi pakar perubatan sependapat, tekanan yang tidak terkawal dan ditangani dengan baik boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan mental seseorang, termasuk golongan muda.

Dalam era kehidupan yang saling bersaing ini, tanpa disedari kita sebenarnya lebih terdedah kepada tekanan. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan tekanan ada di hujung jari, khususnya bagi individu yang aktif dan taasub dengan media sosial termasuk kanak-kanak serta remaja.

Tarikan Internet, media sosial dan permainan video menjadikan golongan muda ini semakin kurang berminat untuk terbabit dalam aktiviti cergas sedangkan ia penting dalam membantu meningkatkan tahap kesihatan dan kecergasan minda.

Dalam satu kajian terbaru yang dijalankan Universiti Sains dan Teknologi Norwegian di Trondheim mendapati kanak-kanak yang lebih banyak bersenam kurang kemungkinan mengalami gejala kemurungan berbanding kelompok kurang aktif.

Penyelidik menggunakan pengesan aktiviti untuk melihat berapa banyak aktiviti fizikal yang dilakukan oleh kanak-kanak. Penyelidik kemudian menemu bual kanak-kanak dan ibu bapa bagi mengesan sekiranya mereka menunjukkan gejala kemurungan.

Didapati, kanak-kanak berusia enam hingga lapan tahun yang melakukan banyak aktiviti cergas kurang menunjukkan gejala kemurungan dua tahun selepas itu, seperti yang dilaporkan oleh Reuters.

Menurut Ketua Penyelidik, Dr Tonje Zahl, penemuan itu menunjukkan aktiviti fizikal sangat penting untuk mencegah kemurungan dalam kalangan kanak-kanak. Malah keputusan kajian berkenaan juga sejajar dengan penemuan sebelum ini yang mendapati senaman boleh merangsang emosi dan membantu pesakit murung dewasa.

Keputusan itu amat penting kerana kesan senaman ke atas kesihatan mental kanak-kanak kurang diketahui. Biasanya kemurungan dan masalah kesihatan mental hanya muncul apabila kanak-kanak memasuki umur remaja atau awal dewasa.

Kajian itu dilakukan ke atas responden terdiri daripada 2,166 kanak-kanak berusia enam, lapan dan 10 tahun di Trondheim. Penyelidik juga membuat pemerhatian ke atas ibu bapa kanak-kanak berkenaan disusuli sesi soal jawab.

Pada usia enam dan lapan tahun, kanak-kanak berkenaan diminta memakai accelerometer bagi mengesan pergerakan mereka dalam masa seminggu. Alat berkenaan hanya ditanggalkan apabila mereka mandi.

Didapati pada usia enam tahun, secara purata kanak-kanak melakukan aktiviti cergas selama 1.19 jam sehari dengan 8.58 jam tidak aktif. Pada usia lapan tahun, tempoh cergas berkurang kepada 1.18 jam sehari dengan 9.22 jam tidak aktif. Pada usia 10 tahun, tempoh cergas menyusut kepada 1.09 jam sehari dengan 9.94 jam tidak aktif.

Penyelidik juga memerhatikan sembilan gejala murung dalam kalangan kanak-kanak berkenaan dan didapati semuanya menunjukkan simptom kemurungan pada kadar berbeza. Kanak-kanak yang lebih aktif, kurang kemungkinan menunjukkan kemurungan. Bagaimanapun, kajian berkenaan tidak menemui kaitan ketidakaktifan dengan gejala kemurungan.

MANFAAT JANGKA PANJANG

Laman pendidikan WebMD menyenaraikan gejala kemurungan yang biasa berlaku pada kanak-kanak seperti:

- Resah dan mudah marah.

- Sedih berpanjangan dan berasa diri tidak berguna.

- Tidak mahu bergaul dan lebih suka menyendiri.

- Menjadi sensitif apabila ada kemahuan tidak dipenuhi.

- Selera makan berubah - sama ada bertambah atau berkurang.

- Tabiat tidur berubah - tidak boleh tidur atau asyik tidur.

- Menangis.

- Sukar menumpukan perhatian.

- Selalu letih dan tidak bertenaga.

- Merungut sakit (contohnya sakit perut dan kepala yang tidak sembuh dengan ubat).

- Kebolehan atau prestasinya merosot sama ada di sekolah, di rumah, bersama teman.

- Hilang minat terhadap perkara yang disukai.

- Selalu rasa bersalah.

- Ada fikiran untuk mencederakan diri atau membunuh diri.

Walaupun pakar lain melihat kajian itu ada kelemahan - di mana ia tidak dapat menunjukkan jumlah senaman yang mungkin boleh menyebabkan kemurungan pada kanak-kanak, tetapi ia masih dianggap relevan.

Menurut penyelidik psikologi di Universiti Ottawa di Kanada, Dr Gary Goldfiled yang tidak terbabit dalam penyelidikan berkenaan, ada banyak penerangan biologi yang boleh menunjukkan kepentingan senaman dalam mengurangkan kemurungan dalam kalangan kanak-kanak.

“Aktiviti fizikal boleh membantu meredakan gejala kemurungan melalui banyak proses psikososial seperti mengurangkan tekanan, meningkatkan interaksi sosial, memperbaiki fungsi kognitif dan prestasi pembelajaran serta akademik. Secara tidak langsung, ia juga meningkatkan keyakinan dan imej diri serta kualiti hidup yang memberi kesan positif kepada emosi,” katanya.

Pensyarah psikologi di Universiti California State, Dominguez Hills juga bersetuju dengan pendapat itu. Katanya, baik bagi orang dewasa atau kanak-kanak, semuanya akan mendapat manfaat jangka panjang apabila menjadikan senaman sebagai amalan hidup.

Sebagai ibu bapa yang mahukan perkara terbaik untuk anak, sudah sampai masanya kita mengubah cara hidup dan memulakan sesi senaman sekeluarga. Jika tidak sempat setiap hari, mulakan dengan senaman seperti berjalan pantas pada hujung minggu bersama semua ahli keluarga.

Usaha kecil ini akan memberi impak yang besar kepada kehidupan kita. Bak kata Hills, senaman hari ini akan memberi manfaat pada masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2017 @ 5:01 AM