Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad (gambar) dan Presiden Berbasikal Kuala Lumpur (PBKL) Datuk Mohammad Sidek Khalid tidak berhasrat untuk menarik diri daripada merebut jawatan nombor dua persatuan itu.

Hingga petang semalam, kedua-dua calon tidak menyuarakan hasrat untuk menarik diri sebaliknya bersedia untuk bersaing pada mesyuarat agung tahunan (AGM) PKBM di Melaka hari ini.

“Sehingga petang ini (jam 4 petang semalam), tiada calon Timbalan Presiden yang menarik diri, jadi mereka meneruskan hasrat untuk bertanding esok (hari ini),” kata Setiausaha Agung PKBM Ibrahim Mustafa.

Naim yang berpengalaman luas dan dilihat calon yang sudah ‘masak’ dengan sukan berbasikal negara dicabar Mohammad Sidek untuk mengisi kerusi Timbalan Presiden bagi penggal 2015-2017 dengan nasib mereka akan ditentukan oleh 17 ahli gabungan yang mengundi.

Naim yang disebut-sebut bakal menggantikan Presiden PKBM Datuk Abu Samah Wahab memainkan watak penting dalam pembangunan berbasikal trek negara hingga disegani di pentas antarabangsa.

Manakala bagi saingan Naib Presiden, Ibrahim turut mengesahkan tiada calon yang menarik diri.

“Sembilan calon sah bertanding untuk merebut lima kerusi yang dipertandingkan. Bagaimanapun semua calon yang bertanding masih mempunyai masa untuk menarik diri sebelum bermulanya AGM pagi esok (pagi ini) bagi memilih kepimpinan baru,” jelasnya.

Empat penyandang jawatan iaitu Omar Saad, Amrun Misnoh, Yunus Ibrahim dan Datuk Ahmad Sidi Ismail tampil bertanding dengan lima muka baru termasuk bekas pelumba negara Mohd Firdaus Daud memberikan cabaran.

Pucuk kepimpinan tertinggi PKBM memerlukan barisan yang mantap bagi mengembalikan ‘maruah’ badan induk itu yang tercalar susulan isu penggantungan membabitkan dana yang disalurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2015 @ 7:33 AM