Abu Samah kekal Presiden PKBM. FOTO NSTP
Abu Samah kekal Presiden PKBM. FOTO NSTP
Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Datuk Abu Samah Wahab tidak berdepan masalah untuk mengekalkan jawatan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bagi penggal 2019-2023.

Menurut Setiausaha Kehormat PKBM, Ibrahim Mustapa, Abu Samah yang mengetuai badan induk berbasikal negara sejak 1990 diumumkan menang tanpa bertanding selepas tiada pencabar apabila tarikh tutup pencalonan pada 20 Disember lalu.

Namun tumpuan terarah kepada gandingannya apabila berlaku saingan dua penjuru bagi mengisi jawatan Timbalan Presiden pada mesyuarat agung pemilihan PKBM yang berlangsung di Melaka esok.

Dua Naib Presiden, Amrun Misnoh dan Yunus Ibrahim akan cuba mengisi kekosongan ditinggalkan Datuk Naim Mohamad yang melepaskan jawatan pada 2016.

Kedua-duanya mempunyai pengalaman luas bersama PKBM dengan mengisi pelbagai jawatan sebelum ini dengan Amrun diangkat sebagai pemangku Timbalan Presiden bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Naim.

Presiden Persatuan Berbasikal Perak (PCA), Datuk Amarjit Singh Gill pula dijangka menjadi pilihan ahli gabungan untuk mengekalkan salah satu daripada lima kerusi Naib Presiden.

Kehadiran beliau dilihat penting terutamanya pembabitan PKBM dan Malaysia di peringkat Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dengan Amarjit turut memegang beberapa jawatan utama.

Turut mempertahankan jawatan Naib Presiden adalah Presiden Persatuan Berbasikal Negeri Kedah, Omar Saad manakala salah seorang Naib Presiden, Mohd Salleh Mohamed membuat keputusan untuk mengundur diri.

"Tiada calon yang menarik diri setakat petang ini namun mereka masih mempunyai peluang untuk berbuat sedemikian sebelum bermulanya mesyuarat pagi esok," tambah Ibrahim.

Secara keseluruhan seramai sembilan calon Naib Presiden akan bertanding merebut lima kerusi yang dikosongkan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Disember 2018 @ 4:16 PM