Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Arus perubahan dijangka berlaku kepada barisan kepimpinan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) apabila tiga daripada lima Naib Presiden dijangka berundur.

PKBM diberi tempoh 60 hari oleh Pesuruhjaya Sukan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dengan Presiden Datuk Abu Samah (gambar kecil) sudah menyuarakan hasrat untuk berundur.

“Tiga Naib Presiden PKBM turut menyuarakan hasrat tidak mahu mempertahankan jawatan.

“Ada antaranya sudah meletakkan jawatan di peringkat negeri dan ada juga berasa tiba masanya untuk berundur kerana sudah lama memegang jawatan. Bagaimanapun dua lagi berkemungkinan mempertahankan jawatan,” menurut sumber.

Lima Naib Presiden PKBM adalah Datuk Ahmad Sidi Ismail (Persatuan Berbasikal Negeri Terengganu), Amrun Misnoh (Persatuan Berbasikal Negeri Selangor), Datuk Samat Aripin (Persatuan Berbasikal Negeri Johor), Omar Saad (Persatuan Berbasikal Negeri Kedah) dan Yunus Ibrahim (Persatuan Berbasikal Negeri Sembilan).

Abu Samah menerusi laporan Arena Metro beberapa hari lalu menyuarakan hasrat untuk mengundur diri kerana sudah memegang jawatan berkenaan sejak 1990.

“Bagaimanapun, ia dilihat merumitkan PKBM kerana persatuan berkenaan mempunyai beberapa kejohanan penting untuk dianjurkan tahun ini.

“Wujud kebimbangan jika berlaku perubahan dalam barisan kepimpinan, ia akan menjejaskan kelancaran kejohanan berkenaan,” tambahnya.

PKBM akan menganjurkan dua kejohanan bertaraf antarabangsa iaitu Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) Mountain Bike di Melaka pada Ogos dan Kejohanan Lumba Basikal Dalam Dewan Dunia di Johor, November.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 January 2015 @ 7:35 AM