Berita gembira penghijrahan beberapa artis akhir-akhir ini disambut dengan gembira oleh penyanyi dan pelakon Azzarima Zawari yang berhijab awal 2013 selepas bergelar isteri.

Rabu lalu, Azza melalui laman sosial Facebooknya berkongsi perasaan gembiranya. Sebagai artis yang lebih dulu berhijab, Azza turut menitipkan nasihat buat rakan artis kerana sedar dugaan dan cabaran yang mereka hadapi apabila berhijrah.

“Kalau mereka kata hijab itu trend, relaks dan jangan marah. Saya pernah melaluinya dulu dan jawapan saya, tidak mengapalah, dari trend insya-Allah akan ada kebiasaan dan keikhlasan.

“Untuk kawan-kawan semua, kita sudah hadapi pelbagai celaan dan yang ini hanya secubit. Tidak menjadi kudis buat kita. Yang penting, kesedaran dalam diri betapa kewajipan yang harus kita utamakan sudah dilaksanakan.

“Akan ada ujian dan laluinya dengan sabar. Bukan mudah untuk berada di jalan Allah tapi yakinlah dengan setiap aturan-Nya. Biar apa orang nak cakap konon berhijab sebab nak jual tudung, nak jual jubah atau nak buat bisnes.

“Senyum saja dan sampaikan dengan baik. Katakan saja, jual tudung atau jual jubah atau berniaga apa saja rezeki yang lain, itu lebih baik dari menjual diri.

“Saya harap masyarakat faham, untuk artis bertudung, peluang berlakon terhad mengikut karakter serta imej sekarang. Sebab itu ramai artis berhijab berniaga tapi ada juga sebelum berhijab mereka sudah berniaga. Untuk berlakon, insya-Allah kalau ada rezeki, mesti mereka panggil.

“Apa yang selalu saya katakan pada diri, Allah jaga dan sayang kita. Bila Allah sayang kita, Dia akan jaga kita dan ingat satu pintu tertutup, 10 Allah buka pintu rezeki yang lain,” katanya yang kini mengusahakan perniagaan busana Muslimah di Marakesh Busana Shopping Mall.

Azza juga akui akan ada kata-kara sinis daripada masyarakat umum apabila berlaku kesalahan dalam proses pembelajaran.

“Kita yang berhijab pula jangan suka hati kritik kawan artis yang belum berhijab. Lebih baik kita persiapkan diri untuk jadi contoh dan teladan baik supaya jadi ikutan kepada kawan atau peminat kita.

“Sebagai manusia biasa, kita memerlukan nasihat dan ada kalanya manusia kena ketuk dulu baru tersedar. Teruskan menasihati kami yang dalam proses pembalajaran ini, cuma jangan sampai mengaibkan atau sengaja mencari kesilapan kami.

“Ingat, satu jari menunjukkan kesalahan kepada orang lain, sembilan lagi jari menghala kepada anda. Nasihatilah dengan cara paling lembut dan bukan mencerca. Islam itu mudah dan jangan mempersulitkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2015 @ 5:08 AM