Reuters

London: Tersingkir daripada Piala FA dan kemaraan ke Liga Juara-Juara belum pasti, musim Manchester United tiba ke kemuncak genting pada Liga Perdana Inggeris apabila menentang Tottenham Hotspur di laman sendiri, Ahad ini.

United ditundukkan Arsenal pada suku akhir Piala FA awal pagi Selasa lalu, keputusan yang secara efektif menamatkan harapan mereka meraih trofi utama bagi musim kedua berturut-turut.

Berakhir dalam kelompok empat teratas dan layak ke pertandingan utama Eropah kini dianggap satu kemestian, namun 10 perlawanan terakhir United musim ini turut termasuk menentang Liverpool, Manchester City, Chelsea dan Arsenal.

United di tangga keempat, dengan 53 mata daripada 28 perlawanan, hanya dua mata di depan Liverpool, manakala Spurs satu mata lagi di belakang di tangga keenam.

Tottenham menang di Old Trafford pada dua musim terakhir meskipun tidak meraih kemenangan di gelanggang itu sejak 1989 dan mereka tidak tewas menentang United dalam lima pertemuan terakhir.

United masih boleh mengalami kekalahan di tangan kelab kendalian Mauricio Pochettino, namun kekalahan di tangan Arsenal mendedahkan lagi kelemahan mereka dan pengurus Louis van Gaal sedar pasukannya perlu bangkit segera untuk memastikan empat tangga teratas.

“Semua pemain amat kecewa dan ia memang logik,” kata pengendali Belanda itu selepas kekalahan di tangan Arsenal. “Kami perlu lihat bagaimana untuk pulih daripadanya.

“Saya tidak kata motivasi dalam pasukan amat buruk, ia sering kali bagus. Kami mempamerkan semangat juang fantastik sekali lagi.

“Ini satu tamparan besar buat kami, tapi kami ahli sukan dan perlu bangkit.”

Juara bertahan City berkunjung ke kelab bermasalah Burnley pada perlawanan awal pagi Ahad ini menyedari mereka tidak boleh membenarkan pendahulu Chelsea terus mengekalkan kelebihan lima mata di puncak liga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 10:03 AM