Johor Bahru: Skuad Harimau Malaya akan memulakan latihan 19 Mac ini sebagai persiapan bagi perlawanan persahabatan menentang skuad kebangsaan Oman.

Jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan Dollah Salleh berkata, pasukannya mula dapat berlatih pada tarikh itu berikutan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk meminda jadual perlawanan Piala FA pusingan ketiga kepada 17, 18 dan 21 Mac.

“Pihak pengurusan skuad kebangsaan sudah membuat permintaan kepada FAM supaya melanjutkan tempoh latihan bagi menentang pasukan Oman dan dengan penyusunan semula jadual pusingan ketiga Piala FA itu, skuad kebangsaan dapat berlatih lebih lama,” katanya ketika menghadiri majlis perasmian rumah kelab UDA FC.

Perasmian dilakukan anggota Parlimen Johor Baharu Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Skuad bola sepak kebangsaan akan menghadapi perlawanan persahabatan kelas A menentang Oman di Stadium Seeb Sports, Oman pada 26 Mac ini.

FAM menerusi laman webnya menjelaskan pihaknya meminda perlawanan Piala FA pusingan ketiga kepada 17, 18 dan 21 Mac ini selepas mengambil kira perlawanan yang akan dihadapi skuad kebangsaan.

Perlawanan antara dua pasukan Liga Super, Selangor dan Terengganu dipinda ke 18 Mac kerana Terengganu hanya akan pulang pada 15 Mac selepas bertemu LionsXII pada 14 Mac.
– BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 6:16 AM