REUS (kanan) guna topeng Robin rai jaringan.
REUS (kanan) guna topeng Robin rai jaringan.

Berlin: Borussia Dortmund memerlukan bantuan ‘superhero’ Marco Reus dan Pierre-Emerick Aubameyang untuk menjaringkan tiga gol dalam lapan minit sebelum menang 3-0 ke atas Schalke 04 di laman sendiri dan meraih kemenangan keempat berturut-turut dalam Bundesliga.

Aubameyang meletakkan mereka di depan pada minit ke-78, selepas naib juara musim lalu itu mensia-siakan berdozen peluang dan pemain kebangsaan Gabon itu meraikan jaringannya dengan memakai topeng Batman manakala Reus memakai satu lagi topeng gandingan superhero itu, Robin.

Reus sendiri menjaringkan gol pada minit ke-86 selepas Henrikh Mkhitaryan menampan masuk dari jarak dekat bagi gol kedua Dortmund seminit selepas mereka mendahului.

“Saya fikir Aubameyang kini kehabisan topeng superhero,” kata jurulatih Dortmund Juergen Klopp selepas pasukannya mengukuhkan semula peluang beraksi di Eropah musim depan.

“Inilah yang saya harapkan pagi ini selepas saya bangun. Amat penting kami tidak gemuruh,” katanya. “Kami perlu meneruskan rentak baik ini kerana masih lima mata di atas zon bahaya.”

Aubameyang turut menyarung topeng Spiderman pada final Piala Super 2014.

Dortmund yang bertindak hambar pada awal perlawanan selain berdepan kehebatan penjaga gol muda Schalke, Timon Wellenreuther, melonjak ke tangga ke-10 dengan 28 mata.

Penjaga gol berusia 19 tahun itu, beraksi sebagai pilihan utama baru-baru ini kerana kecederaan, tenang apabila Aubameyang mengasak dan menghalang percubaannya pada minit keempat.

Wellenreuther turut menghasilkan beberapa tindakan penyelamat mengagumkan terutama daripada Reus dan Aubameyang. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2015 @ 7:31 AM