PENYOKONG pembangkang Russia berarak sambil membawa poster gambar Nemtsov di tengah Moscow, semalam.
PENYOKONG pembangkang Russia berarak sambil membawa poster gambar Nemtsov di tengah Moscow, semalam.

Moscow: Kira-kira 70,000 penyokong pembangkang semalam berarak berama-ramai meluahkan rasa marah dan sedih terhadap pembunuhan kejam tokoh pembangkang Russia, Boris Nemtsov

Bekas timbalan perdana menteri berusia 55 tahun itu ditembak dari belakang beberapa kali awal kelmarin ketika dia berjalan melintasi jambatan berhampiran tembok Kremlin.

Pembunuhan Nemtsov itu mengubah tunjuk perasaan pembangkang yang dirancangnya menjadi perarakan memperingatinya dengan penyokong berjalan menyeberang jambatan tempat dia dibunuh yang kini penuh dengan bunga dan gambarnya.

Sejurus selepas khabar mengenai pembunuhan itu tersebar, Putin berikrar untuk menghukum penyerang Nemtsov sementara tokoh pembangkang lain menyifatkan kejadian itu sebagai ‘pembunuhan politik.’

Beberapa jam sebelum ditembak mati, Nemtsov dalam wawancara dengan sebuah stesen radio popular menggesa orang ramai menyertai perhimpunan besar-besaran yang sepatutnya diadakan semalam untuk membantah campur tangan Russia dalam krisis di Ukraine dan berkata Putin perlu meletak jawatan.

Pihak berkuasa Moscow membenarkan 50,000 penyokong pembangkang menyertai tunjuk perasaan itu.

Pembunuhan Nemtsov adalah yang terbaru membabitkan tokoh pembangkang sepanjang 15 tahun Putin memimpin negara itu dan mengembalikan ingatan kepada pembunuhan wartawan anti-Kremlin Anna Politkovskaya yang ditembak mati pada hari jadi Putin pada Oktober 2006.

Putin menyalahkan musuhnya yang cuba mencemar imej Kremlin dengan menyasarkan Nemtsov.

Sekutu tokoh pembangkang itu, pejuang antirasuah yang menjadi timbalan perdana menteri ketika era Boris Yeltsin, bagaimapun mengaitkan kematiannya dengan dasar Kremlin.

“Sudah pasti Putin mengarahkan pembunuhan Nemtsov. Dia menunjukkan kepada kami apa yang berlaku kepada mereka yang menentangnya,” kata Alexander Badiyev.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2015 @ 7:17 AM