Kuala Lumpur: Teruja dan berjanji untuk memberi persembahan terbaik. Itu janji pemain beregu wanita negara, Amelia Alicia Anscelly yang menyertai Seluruh England buat kali pertama.

Pemain kelahiran Sabah itu berharap dia dan rakan segandingan, Soong Fie Cho mampu menaikkan maruah negara di kejohanan bertaraf Siri Super Premier itu yang membuka tirai esok.

“Kami harap dapat meningkatkan martabat beregu wanita negara bersama gandingan Vivian Hoo-Woon Khe Wei dengan beraksi cemerlang di Seluruh England,” katanya.

Berdasarkan undian, Amelia-Fie Cho bakal berdepan pasangan India, Jwala Gutta-Ashwini Ponnappa dan kemungkinan bertemu sesama sendiri dengan Vivian-Khe Wei andai kedua-dua mara ke suku akhir.

“Bagaimanapun sebelum itu kami perlu melakar beberapa kejutan ketika menentang pasangan terbaik dunia.

“Yang penting kami perlu sentiasa konsisten bukan saja di Seluruh England, tetapi kejohanan lain juga,” katanya yang masih segar dengan gelaran juara Grand Prix (GP) Emas Terbuka India 2015 Januari lalu.

Selain beregu wanita, Malaysia tidak mempunyai wakil dalam undian utama perseorangan lelaki, namun pemain bebas Mohd Arif Latif dan Zufadli Zukiffli akan beraksi di pusingan kelayakan.

Lebih malang tidak ada pemain di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi acara itu sedangkan juara bertahan ialah Datuk Lee Chong Wei yang masih lagi digantung sementara oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berikutan isu doping.

Sebelum ini, Chong Wei Feng sepatutnya beraksi pada pusingan kelayakan, namun terpaksa menarik diri akibat kecederaan pangkal paha.

Sementara itu, gandingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong akan membawa cabaran negara dalam saingan beregu lelaki manakala Tan Aik Quan-Lai Pei Jing akan beraksi pada kelayakan beregu campuran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2015 @ 7:14 AM