Oleh Ardyhansah Amat


Sandakan: Tujuh warga asing termasuk tiga kanak-kanak terselamat apabila seorang daripada mereka terjaga daripada tidur selepas terhidu bau 'hangit' dalam kejadian kebakaran dua rumah di Jalan Utara, Batu 3 1/2, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.30 malam, semua warga asing terdiri daripada dua keluarga itu baru saja tidur selepas menyaksikan perlawanan bola sepak di rumah mereka.

Difahamkan, seorang daripada mangsa terjaga selepas terhidu bau objek terbakar sebelum mendapati api sedang marak di bahagian dinding rumah menyebabkannya bingkas mengejutkan ahli keluarga lain dan lari menyelamatkan diri.

Sebaik keluar, mangsa mendapati rumah jiran yang terletak bersebelahan hampir musnah manakala api mula merebak ke kediaman mereka.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sandakan Devi Rashedee Engsoi berkata, insiden kebakaran dipercayai bermula daripada rumah jiran mangsa yang terletak bersebelahan sebelum merebak ke rumah tujuh warga asing itu.

"Bagaimanapun, jiran mangsa gagal ditemui sepanjang operasi memadamkan api yang tamat pada 11.22 malam tadi.

"Bomba masih melakukan siasatan punca kebakaran dan jumlah kerugian yang ditanggung mangsa," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Tambah Devi, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 11.04 malam sebelum tiba di lokasi kejadian empat minit kemudian.

"Kebakaran memusnahkan dua unit rumah yang diperbuat daripasa papan.

"Kejadian turut menyebabkan sebuah lori yang diparkirkan berhampiran turut terbakar hampir 50 peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 3:30 PM