Keadaan salah sebuah tiga rumah yang musnah dalam kebakaran di Taman Berkat, awal pagi semalam. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin.
Keadaan salah sebuah tiga rumah yang musnah dalam kebakaran di Taman Berkat, awal pagi semalam. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin.
Amirul Aiman Hamsuddin

“MUJUR adik ipar saya sedar rumah terbakar. Jika tidak, mungkin kami sekeluarga hangus bersama,” kata Nur Nadia Mohd Murad, 26.

Wanita itu dan bayinya, Muhammad Habib Muhamad Alif yang berusia 45 hari antara yang terselamat dalam kebakaran membabitkan tiga rumah di Taman Berkat, Sungai Besar, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, sebuah dari rumah berkenaan musnah 80 peratus manakala dua lagi hanya membabitkan kebakaran 30 peratus.

Nur Nadia berkata, ketika kejadian dia yang sedang berpantang bersama bayi dan empat ahli keluarga lain sedang nyenyak tidur dalam rumah itu.

“Bagaimanapun, adik ipar lelaki saya tersedar selepas terhidu bau asap ketika berada dalam bilik tidurnya yang berada berdekatan dapur.

“Pada waktu itu, saya berada di ruang tamu sebelum terdengar jeritan memaklumkan api di dapur rumah.

“Saya pada mulanya menyangka rumah belakang terbakar namun tidak sangka api sudah menyambar rumah kami,” katanya ketika hari ini.

Menurutnya, dia kemudian bergegas keluar menyelamatkan diri sambil mengendong bayinya.

“Kebakaran itu turut mengakibatkan Mohamad Hakimi sesak nafas dan terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam.

“Bagaimanapun, kami bersyukur kerana terselamat dalam kebakaran itu,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Siti Zarah Mustam, 56, berkata dia terjaga daripada tidur selepas jiran bersebelahan mengetuk pintu rumah.

“Saya terjaga sebaik mendengar jiran menjerit meminta saya keluar dari rumah.

“Apabila pintu dibuka, jiran memberitahu rumah sudah terbakar. Sebaik menoleh ke belakang, saya melihat api marak membakar almari hingga ke bumbung,” kata ibu tunggal itu.

Dalam pada itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besar, Muhamad Khuzaimey Ibrahim berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 5.32 pagi.

“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 7:19 PM