PENGGUNA hanya dikenakan GST bermula 1 April 2015
PENGGUNA hanya dikenakan GST bermula 1 April 2015

Putrajaya: Kementerian Kewangan menggesa peniaga supaya hanya menggunakan terma cukai perkhidmatan dan bukannya ‘GST’ pada resit pembayaran sehingga 1 April 2015 bagi mengelakkan orang ramai daripada terkeliru.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, terdapat sesetengah peniaga yang menggunakan istilah ‘GST’ yang merujuk kepada cukai perkhidmatan kerajaan yang dikenakan sebanyak enam peratus dalam resit pembayaran.

Beliau berkata, peniaga perlu menyatakan dalam resit amaun cukai perkhidmatan yang dikenakan, namun tiada peruntukan berkenaan terma cukai yang perlu diguna pakai oleh peniaga.

“Oleh sebab itu, ada peniaga yang menggunakan terma seperti cukai perkhidmatan, cukai kerajaan dan cukai perkhidmatan kerajaan yang diringkaskan menjadi ‘GST’,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Ahmad berkata, sekalipun peniaga berkenaan sudah berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, adalah dilarang untuk mengenakan GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) sebelum tempoh penguatkuasaannya pada 1 April 2015.

“Walaupun kadar cukai juga adalah sama di antara GST dan cukai perkhidmatan, namun adalah menjadi kesalahan menggunakan istilah CBP sebelum tempoh pelaksanaan cukai baru ini,” katanya.

Menurutnya, jika sabit kesalahan peniaga boleh dikenakan denda tidak melebihi RM30,000 atau dipenjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, kekeliruan juga timbul mengenai istilah caj perkhidmatan yang biasanya dikenakan pada kadar 10 peratus oleh peniaga yang dianggap rakyat sebagai cukai dikenakan kerajaan.

“Caj perkhidmatan adalah kenaan caj yang dicaj oleh pengusaha hotel dan restoran atas perkhidmatan yang disediakan kepada pelanggannya,” katanya.

Beliau berkata, kementeriannya sudah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan agar pihak industri menggunakan terma yang bersesuaian sebagai contoh caj restoran atau caj hotel. - BERNAMA

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 5:03 AM