Turin, Itali: Gonzalo Higuain (gambar) meledak gol kemenangan Juventus ke atas bekas kelab pemain Argentina itu Napoli 2-1 di Turin semalam untuk melebarkan penguasaan mereka kepada lima mata di puncak Serie A.

Higuain yang mencatat rekod Serie A dengan 36 gol buat Napoli musim lalu, menjadi mangsa kebencian di Stadium San Paolo selepas berpindah ke Juventus dengan rekod perpindahan tertinggi Itali 90 juta euro (RM415.4 juta).

Biarpun dia boleh menjangkakan sambutan panas peminat Napoli, ramai di antaranya membakar jersinya kerana berang dengan perpindahannya apabila kelab selatan itu menanti kunjungan juara liga pada 2 April lalu, Higuain bersikap bijak tidak meraikan gol ketujuhnya di liga itu musim ini.

Sepakan voli cantik daripada Leonardo Bonucci membolehkan Juventus mendahului seawal minit ke-50, namun Jose Callejon berjaya mengatasi Gianluigi Buffon empat minit kemudian hasil hantaran Lorenzo Insigne.

Perlawanan yang berlangsung tegang dengan beberapa pertelagahan di antara pemain hampir berkesudahan seri 1-1.

Namun apabila hantaran silang Higuain kepada Sami Khedira kembali berada di kaki penyerang itu, dia tidak melakukan kesilapan dengan rembatan yang berjaya menewaskan Pepe Reina pada minit ke-70.

Juventus yang kini memburu gelaran keenam ‘scudetto’ berturut-turut musim ini, kini lima mata mendahului Roma.

“Adalah penting untuk menang malam ini,” kata jurulatih Juventus Massimiliano Allegri. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 12:02 PM