JOKO Widodo diperkenalkan kepada barisan Menteri Kabinet oleh Perdana Menteri. FOTO Khairull Azry Bidin
JOKO Widodo diperkenalkan kepada barisan Menteri Kabinet oleh Perdana Menteri. FOTO Khairull Azry Bidin
Oleh Mohd Husni Mohd Noor


Sepang: Presiden Indonesia Joko Widodo dan isteri, Ibu Iriana selamat tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 3.50 petang tadi bagi memulakan lawatan rasminya selama tiga hari ke negara ini.

Ketibaan Joko Widodo atau lebih mesra dengan panggilan Jokowi disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta barisan Menteri Kabinet yang lain.

Malaysia adalah negara pertama dikunjunginya dalam senarai lawatan rasminya ke luar negara selepas mengambil alih tampuk pemerintahan Indonesia pada Oktober tahun lalu.

Lawatan rasmi Presiden Indonesia itu juga adalah sebagai memenuhi jemputan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muad'zam Shah.

Jokowi dilantik sebagai Presiden Indonesia pada 20 Oktober tahun lalu.

Sebaik tiba di perkarangan kompleks tersebut, lagu Indonesia Raya dan Negaraku dimainkan Kumpulan Pancaragam Pusat Rejiman Askar Melayu Diraja, Kem Sungai Besi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Februari 2015 @ 4:13 PM