JOKO Widodo bersama isteri Iriana (kanan) ketika menghadiri majlis graduasi  anak bongsunya, Kaesang Pangarep di Singapura.
JOKO Widodo bersama isteri Iriana (kanan) ketika menghadiri majlis graduasi anak bongsunya, Kaesang Pangarep di Singapura.
Agensi

Jakarta

Perubahan dibawa Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo ke Istana Presiden masih memerlukan penyesuaian oleh kakitangannya berikutan gaya kepemimpinan santainya yang langsung tidak mengendahkan protokol seperti biasa diamalkan sebelum ini.

Banyak mesyuarat kini diadakan di luar jadual asal dirancangkan mengakibatkan kekalutan dalam kalangan kakitangan Istana Presiden yang selama ini sudah biasa mematuhi protokol ketat dikehendaki mantan presiden, Susilo Bambang Yudhoyono.

Baru-baru ini, 34 gabenor negara itu duduk di tangga Istana Bogor, Jawa Timur untuk bergambar dengannya - sudah pasti sesuatu yang tidak dilihat dengan pemerintah terdahulu.

Jokowi yang terkenal dengan sikap selambanya terus duduk bersama mereka selepas menjawab soalan wartawan.

Di luar Istana juga, Jokowi memilih untuk bergerak dalam kumpulan kecil yang hanya membabitkan kakitangan diperlukan.

Setakat ini, presiden baru Indonesia itu sudah melakukan tiga lawatan kerja iaitu melawat mangsa letupan gunung berapi Sinabung di Karo, Sumatra Utara, lawatan presiden pertama ke China, Myanmar serta Australia dan lawatan terbaru ke Sumatra.

Minggu lalu, dengan hanya ditemani tujuh anggota keselamatan (Paspampres), Jokowi dan isterinya Iriana menaiki penerbangan kelas ekonomi ke Singapura bagi menghadiri majlis graduasi anak bongsu mereka, Kaesang Pangarep.

Jokowi juga mengelak acara yang dijadualkan untuknya oleh pegawai kerajaan.

Ketika lawatan ke Gunung Sinabung, Jokowi mengelak pertemuan rasmi dengan kerajaan tempatan, sebaliknya memilih menemui sendiri mangsa terbabit.

Setiausaha Kabinet Andi Widjajanto berkata, kakitangan keselamatan dan protokol yang bertanggungjawab menyesuaikan diri dengan tabiat Jokowi itu.

Dia turut menegaskan, presiden itu tidak akan melanggar sebarang peraturan keselamatan atau protokol yang mampu meletakkan nyawanya dalam bahaya.

Sementara itu, ketua Paspampres Andika Perkasa jugadilihat berpakaian lebih santai termasuk berkasut sukan dan seluar kargo supaya lebih mudah mengekori Jokowi.

Ini termasuk ketika acara di Istana Presiden Oktober lalu dan pelancaran Kad Indonesia Pintar (KIP) dan Kad Indonesia Sihat (KIS) di Pejabat Pos Jakarta Pusat, awal bulan ini.

“Semua pihak masih dalam proses penyesuaian dan buat masa ini kami menggunakan tiga contoh blusukan (lawatan tak dirancang) yang dipantau secara berterusan untuk membolehkan kami menyesuaikan diri dengan cara unik diamalkan presiden.

“Protokol untuk menteri menemui Jokowi juga dipermudahkan kerana Presiden memang lebih gemar keadaan dipermudahkan.

“Kini tiada lagi prosedur pentadbiran seperti menghantar surat permohonan rasmi yang diamalkan dulu. Sebaliknya mereka hanya perlu meminta saya dan Setiausaha Negeri Pratikno membuat temu janji dengannya,” kata Andi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:24 AM