Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Boleh dilaksanakan tetapi hanya untuk acara kompetitif. Itu cadangan Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi jika mahu memberikan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) Majlis Sukan Negara (MSN) kepada pemenang pingat perak dan gangsa Sukan SEA.

Menurutnya, taraf temasya yang diadakan secara dwi-tahunan itu sangat rendah dan hanya beberapa acara saja yang dilihat berkualiti seperti badminton.

“Kalau hendak berikan SHAKAM kepada pemenang pingat perak dan gangsa kita perlu pilih acara yang betul-betul kompetitif,” katanya ketika dihubungi semalam.

Jelasnya, dalam sesetengah acara, Malaysia dilihat terlalu mudah meraih pingat terutamanya skuasy.

“Jika kita beri semua insentif SHAKAM kepada pemenang pingat, ia seperti tidak ada perbezaan. Perkara ini juga bukan benda baru kerana sebelum ini kerajaan sudah pastikan bahawa Sukan SEA adalah saingan bertaraf rendah.

“Ada sesetengah acara tidak dipertandingkan di peringkat Sukan Olimpik. Jadi biar kerajaan teliti semula dan beri SHAKAM kepada yang betul-betul bersaing di peringkat Asia Tenggara,” katanya.

Kok Chi berkata, perlu ada satu objektif dan meningkatkan taraf temasya sebelum memberi ‘hadiah’ kepada atlet yang berjay.a

“Ada acara yang hanya menyaksikan beberapa atlet saja mengambil bahagian dan ia tidak kompetitif, kalau skuasy tutup mata pun boleh menang,” katanya.

Kelmarin, beberapa atlet yang pernah meraih pingat emas di temasya berkenaan bersetuju bahawa rakan seperjuangan mereka yang hanya membawa pulang perak dan gangsa perlu diberikan SHAKAM.

Mereka menganggap semua atlet yang beraksi di Sukan SEA sudah memberikan yang terbaik dan bertungkus-lumus untuk mengharumkan nama negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 5:09 AM