ATLET memanah paralimpik, Hasihin Sanawi (duduk) bersama atlet olahraga paralimpik, Muhamad Ziyad Zolkefli (dua dari  kiri) dan jurulatih selepas majlis penyerahan cek skim hadiah kecemerlangan sukan (SHAKAM) MSN kepada Atlet Paralimpik, dua tahun lalu.
ATLET memanah paralimpik, Hasihin Sanawi (duduk) bersama atlet olahraga paralimpik, Muhamad Ziyad Zolkefli (dua dari kiri) dan jurulatih selepas majlis penyerahan cek skim hadiah kecemerlangan sukan (SHAKAM) MSN kepada Atlet Paralimpik, dua tahun lalu.
Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: “Tiada ketetapan dalam pemberian SHAKAM (Skim Hadiah Kemenangan Sukan) dan ia mungkin boleh berubah dan tidak pernah tetap,” itu kata bekas Pengarah Cawangan Hal Ehwal Atlet dan Organisasi Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zaiton Othman (gambar).

Bagaimanapun beliau yang kini memegang jawatan Pesuruhjaya Sukan (PJS) berkuat kuasa semalam bagaimanapun menyuarakan kekecewaannya apabila ada atlet mempersoalkan pelaksanaan pemberian skim itu.

Beliau yang pernah bergelar wanita besi negara berkata, pemberian hadiah SHAKAM itu tidak perlu dibangkitkan kerana atlet sudah maklum dan sebelum sebarang keputusan dibuat satu penelitian terperinci sudah dijalankan.

Mengulas mengenai atlet yang meminta SHAKAM dikaji semula terutama kepada pemenang pingat perak dan gangsa temasya Sukan SEA, Zaiton berkata, taraf Sukan SEA yang rendah mendorong Majlis Sukan Negara (MSN) tidak membayar sebarang imbuhan kepada pemenang dua pingat itu.

“Kerajaan sudah mengkaji semua aspek. Sebagai contoh Sukan SEA sudah menjadi seperti sukan tradisi negara yang menjadi tuan rumah. Ada sesetengah acara hanya ada tiga negara mengambil bahagian, sudah tentu mereka yang menyertainya mendapat pingat.

“Sebagai contoh, vovinam, renang sirip, paragliding, sukan ini sudah tentu memihak kepada tuan rumah dan apa status pemenang perak dan gangsa. Kerajaan melihat aspek itu.

“Kami sudah menaikkan jumlah hadiah kemenangan Sukan SEA kepada pemenang pingat emas daripada RM10,000 kepada RM20,000 dan atlet perlu lebih berusaha mendapatkan emas dan ia pasti lebih bermakna,” kata pemegang rekod kebangsaan heptatlon dengan catatan 5,338 mata yang dilakar pada Sukan SEA 1981.

Bersetuju dengan apa yang sudah ditetapkan kerajaan, Zaiton berkata, pendekatan pemberian hadiah SHAKAM itu perlu dipertahankan, jangan dibandingkan dengan apa yang diperoleh atlet Sukan Asia dan Komanwel kerana jumlah penyertaan negara pada temasya itu tidak sama.

Katanya, sebanyak 53 negara Komanwel, 45 negara beraksi di Sukan Asia dan hanya 11 negara di Sukan SEA dan ia boleh menjadi ukuran tahap persaingannya.

“Perkara ini sepatutnya boleh diterima dan tidak menjadi isu. Letakkan prestij kejayaan itu dengan meraih emas. Skim ini dinilai dari segi kualiti.

“Saya harap penjelasan ini dapat diterima kerana bukan tugas mudah sebelum skim ini diperkenalkan pada 1986. Penelitian yang begitu terperinci dibuat dengan kajian satu dunia dilakukan supaya negara tidak ditertawakan orang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Februari 2015 @ 5:50 AM