Oleh Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pemain tengah kebangsaan, Gary Steven Robbat yang digantung tiga bulan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan menjalani latihan bersama kelab Bundesliga, Borussia Dortmund dalam tempoh terdekat.

Semuanya hasil usaha Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menjalin kerjasama bersama kelab tersohor Jerman itu.

Menerusi kenyataan Johor Southern Tigers, pemain berusia 23 tahun yang membantu Harimau Malaya muncul naib juara Piala Suzuki AFF, baru-baru ini akan diberi pendedahan berlatih bersama kelab itu tidak lama lagi.

“Usaha sama yang terjalin antara Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dan Dortmund membolehkan Gary menjalani latihan di bawah kendalian jurulatih kelab berkenaan.

“Dia yang digantung tiga bulan oleh FAM dan tidak dibenarkan membabitkan sebarang aktiviti bola sepak di bawah anjuran badan induk bola sepak negara itu akan berada di Jerman sepanjang tempoh penggantungan,” kata laman rasmi Johor Southern Tigers.

Sebelum ini, Tunku Ismail mengesahkan Johor DT menjalin kerjasama dengan kelab Dortmund selepas mengadakan perjumpaan dengan Pengarah Pembangunan Belia kelab itu Edwin Boekamp.

Kerjasama itu terarah kepada pembangunan bola sepak Johor dan Gary menjadi pemain pertama mendapat pendedahan bersama kelab ternama Jerman itu.

Langkah Johor DT itu dilihat memberi nafas baru buat Gary meneruskan karier bola sepaknya selepas hampir berputus asa untuk membabitkan diri dalam sukan bola sepak akibat penggantungan itu.

“Diharap Gary gunakan peluang ini untuk mempertingkatkan permainannya dan memantapkan lagi pasukan Johor DT,” kata kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 January 2015 @ 8:09 AM