PAROLO sumbang dua gol untuk Lazio.
PAROLO sumbang dua gol untuk Lazio.

Milan: Marco Parolo meledak dua gol manakala Miroslave Klose menyumbat gol keempat musim ini untuk memastikan Lazio melonjak ke tangga ketiga Serie A menerusi kemenangan 3-1 ke atas AC Milan, kelmarin.

Milan berkunjung ke Stadio Olimpico dengan misi menebus kekalahan mengejut 0-1 di laman sendiri kepada Atalanta minggu lalu, sekali gus menjejaskan peluang mereka untuk merebut peluang beraksi pada pusingan kelayakan Liga Juara-Juara musim depan.

Meskipun Jeremy Menez membuka tirai jaringan pada minit keempat, pelawat gagal menyaingi Lazio pada baki aksi separuh masa pertama dan membenarkan kedudukan kembali terikat hanya selepas empat minit babak kedua bermula apabila Klose mencipta peluang buat Parolo sebelum dia mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-51.

Jurulatih Milan Filippo Inzaghi melakukan beberapa perubahan taktikal yang menyebabkan pasukan pelawat banyak memberi ruang hingga Lazio berjaya melebarkan kedudukan sembilan minit sebelum aksi tamat dengan gol kedua Parolo.

Perlawanan itu turut dicemari aksi tegang pada awal babak pertama, namun kekecewaan Milan tidak boleh dibendung beberapa minit sebelum permainan berakhir apabila pertahanan Philippe Mexes dilayang kad merah kerana bertindak ganas ke atas kapten Stefano Mauri.

Lazio kini satu mata mengatasi Napoli dan Sampdoria, namun ketinggalan 12 mata dengan pendahulu Juventus.

“Kami berhak menang,” kata jurulatih Lazio Stefano Pioli.

“Pemain mempamerkan karakter dan mentaliti yang bagus serta beraksi cukup baik biarpun ketinggalan pada awal permainan.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 January 2015 @ 6:38 AM