Rome: Juventus semakin menghampiri gelaran juara Serie A musim ini selepas Carlos Tevez memastikan kemenangan 3-2 pasukannya ke atas Fiorentina, semalam.

Juve kini hanya kurang satu mata untuk merangkul gelaran keempat berturut-turut.

Skuad kendalian Massimiliano Allegri itu sepatutnya sudah boleh bergelar juara jika pasukan di tangga kedua, Lazio gagal mengatasi Parma tetapi anak buah Stefano Pioli itu menjaringkan tiga gol menerusi Marco Parolo, Miroslav Klose dan Antonio Candrevapada babak pertama sebelum Balde Keita menambah gol keempat pada babak kedua bagi membolehkan jurang antara mereka dengan Juve kekal 14 mata.

Juve kini hanya perlukan seri di Sampdoria esok untuk bergelar juara sebelum bertemu Real Madrid di separuh akhir Liga Juara-Juara, minggu depan.

“Dalam kedudukan ini, apa yang boleh saya katakan ialah agak mustahil untuk kami kehilangan peluang bergelar juara. Kami akan berusaha mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata lagi sebelum bercakap mengenai dua perlawanan besar selepas itu,” kata Allegri merujuk kepada aksi menentang Real.

“Real mempunyai skuad hebat dan jika anda tidak bermain sempurna selain tidak mengancam kubu mereka, peluang menang sangat tipis.”

Pasukannya perlu lebih tajam untuk menentang Real kerana ada kalanya mereka bergelut seperti yang disaksikan ketika menentang Fiorentina.

Juve mendahului Fiorentina menerusi penjaring terbanyak Serie A, Tevez selepas menerima hantaran lintang Patrice Evra.

Fiorentina bangkit sejak awal babak kedua dan hampir menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti tetapi penjaga gol Juve, Rodriguez bijak menafikan sepakan Giorgio Chiellini.

Tevez menghukum kegagalan pelawat lima minit kemudian apabila meledak gol ke-20 musim ini dan gol bintang Fiorentina, Illicic tidak cukup membantu pasukannya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 8:22 AM