Milan: Juventus perlu menunggu beberapa hari lagi sebelum boleh merayakan kejayaan muncul juara Serie A buat kali keempat berturut-turut apabila skuad kendalian Massimiliano Allegri (gambar) tumbang 2-1 di tangan Torino, kelmarin.

Masih segar dengan kemenangan ke atas Monaco sekali gus membolehkan mereka melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun, Juve dilihat sedikit leka pada aksi domestik hingga mengakibatkan mereka berdepan kekalahan kedua dalam tiga aksi Serie A.

“Apa yang perlu kami lakukan kini ialah bersabar,” kata Allegri selepas kekalahan sulung Juve di tangan Torino dalam tempoh 20 tahun.

“Kami sudah berada di depan, mengapa perlu mengejar gol kedua? Kami membuka perlawanan ketika cuba mencari gol tambahan. Kami bermain dengan gaya yang tidak sepatutnya.

“Kami tidak kalah disebabkan kesilapan pertahanan. Kami tewas kerana silap menganggarkan perlawanan itu.”

Andrea Pirlo meletakkan pelawat di depan dalam aksi di Stadio Olimpico menerusi sepakan percuma ketika permainan babak pertama hampir tamat tetapi Torino mempamerkan kebangkitan hebat untuk menewaskan Juve buat kali pertama sejak 1995.

Fabio Quagliarella muncul wira Torino apabila merencanakan gerakan bagi membolehkan Matteo Darmian menyamakan kedudukan sebelum dia meledak gol kemenangan pada minit ke-57.

Juve sepatutnya sudah boleh diangkat sebagai juara Serie A musim ini jika menang ketika pasukan di tangga kedua, Lazio sekadar seri 1-1 dengan Chievo di Rome.

Miroslav Klose meletakkan Lazio di depan tetapi kelebihan itu pantas dipadamkan Alberto Paloschi ketika permainan berbaki 15 minit.

Lazio ketinggalan 14 mata berbanding Juventus dan kemenangan di tempat sendiri ketika menentang Parma awal pagi Khamis bakal memaksa Juve untuk menunggu lebih lama lagi sebelum boleh diangkat sebagai juara. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2015 @ 9:01 AM