Milan: AC Milan yang beraksi dengan 10 pemain berjaya membawa pulang satu mata dalam aksi menghiburkan ketika seri 1-1 di gelanggang Torino semalam.

Torino yang melayan kunjungan Milan mahu menebus kekecewaan selepas kali terakhir menewaskan Rossoneri pada 2001.

Peluang Torino untuk menyempurnakan misi itu tampak sukar selepas tiga minit apabila penyerang Milan, Jeremy Menez menjaringkan gol menerusi sepakan penalti selepas dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Kamil Glik.

Tuan rumah mendominasi permainan dan selepas Mattia De Sciglio mendapat kad merah susulan layangan kad kuning kedua, usaha mereka berhasil apabila Glik menanduk masuk gol penyamaan sembilan minit sebelum tamat.

Milan yang tidak pernah menang dalam tiga perlawanan terakhir kekal di tangga ketujuh dan 14 mata di belakang pendahulu Juventus namun hanya empat mata ketinggalan di tangga ketiga dan slot terakhir kelayakan Liga Juara-Juara yang kini dihuni Lazio.

Bagaimanapun gol penyamaan itu menyaksikan Milan kini melepaskan 38 peratus daripada 21 gol menerusi sepakan sudut dan jurulatih Filippo Inzaghi berkata: “Kami terpaksa mengawal situasi lebih baik apabila kedudukan terikat. Apabila kami terpaksa beraksi dengan 10 pemain, kami terpaksa berusaha keras.” -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 January 2015 @ 6:43 AM