PENCAHAYAAN bagaikan nadi tema kediaman.
PENCAHAYAAN bagaikan nadi tema kediaman.

Minggu ini saya memperincikan berkenaan pemilihan jenis lampu dan teknik pencahayaan kerana banyak kesilapan dikesan. Tahukah anda, lampu dan cahaya di dalam dekorasi antara perkara paling utama dan nadi tema kediaman anda.

Kesilapan dalam menentukan aspek ini 'membunuh' seluruh hasil dekorasi anda.

Pertama, kenal pasti ruang yang ingin anda dekorasikan, sama ada ruang makan, tamu atau bilik tidur.

Kedua, tentukan konsep yang ingin ditampilkan dan setiap tema dekorasi memerlukan pemilihan lampu dan teknik pencahayaan berbeza.

Ketiga, selepas menentukan sistem pencahayan idaman, pilih bentuk dan jenis lampu sama ada jenis gantungan siling, lampu dinding atau lantai.

Kini, terdapat pelbagai jenis lampu di pasaran sama ada berasaskan kaca sepenuhnya, plastik, rotan dan kertas.

Semua jenis lampu ini harus diselaraskan dengan tema dekorasi anda. Jika kediaman bertema elegan dan glamor, lampu gantung dari pilihan berkaca, bermanik atau bersama artifak kristal menjadi satu kemestian.

Selain menepati tema, ia juga melengkapkan keterampilan yang cuba disampaikan. Jika ruang anda tampil dengan sentuhan ala Asia, zen atau etnik, pemilihan lampu dari jenis rotan, anyaman, kayu atau kertas lebih menepati sesuai.

Meskipun hanya terdapat dua warna utama untuk pencahayaan kediaman, ia amat penting untuk ditentukan dengan betul

supaya tidak tersasar jauh dan tenggelam dalam sentuhan dekorasi yang salah.

Tidak dinafikan hari ini terdapat pelbagai warna cahaya daripada lampu kediaman termasuk biru, merah dan hijau.

Namun, ia hanya warna sokongan kepada warna utama pencahayaan kediaman anda. Salam deko!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 January 2015 @ 5:02 AM