DARI kiri, Dior, Rozita dan Ellisan.
DARI kiri, Dior, Rozita dan Ellisan.
Oleh Nor Akmar Samudin

Berhasrat untuk membantu rakan seperjuangan bersama-sama beroleh kejayaan membuatkan Dior tidak berkira soal masa, tenaga dan wang ringgit. Lantas dengan senang hati penyanyi yang terkenal dengan imej K-pop itu menggubah dan mengilhamkan lagu untuk penyanyi era 80-an, Rozita Rohaizad dan artis keturunan Cina, Ellisan Tan.

Mereka bertiga berkenalan ketika bersama-sama menjayakan persembahan di sekitar Kuala Lumpur dan selepas beberapa pertemuan mereka jadi rapat. Bersesuaian imej Dior yang masih muda dan ranggi tentu saja muzik rancak menjadi pilihannya. Pun begitu, tiada masalah untuk Rozita bekerjasama dengan Dior menyanyikan semula lagu Kenek Keneklah Udang yang pernah dipopularkan Allahyarham Puan Sri Saloma dalam nafas baru. Lagu yang diberi judul baru juga iaitu KenekKenek, diberi gubahan muzik terkini berentak elektro pop.

Menurut Dior, Rozita memberinya dua lagu untuk dipilih iaitu Kenek Keneklah Udang dan Ketipang Payung, namun dia lebih tertarik dengan Kenek Keneklah Udang.

"Untuk memberi nafas baru kepada lagu KenekKenek saya bersama Dior mengubah semua lirik lagu itu dan hanya mengekalkan bahagian korusnya saja. Lagu KenekKenek lebih 'catchy' dan turut digemari kanak-kanak.

"Setakat ini, lagu itu selalu diputar di radio KLFM dan Nasional FM. Saya dan Rozita bercadang untuk melancarkan lagu itu sekitar April ini dan membuat klip video. Lagu itu turut memasukkan suara saya dan Dior," katanya.

Rozita berkata, meskipun dia dan Dior dilahirkan pada zaman dan detik waktu yang berbeza, namun sebagai artis, perbezaan usia dan latar belakang tidak pernah wujud dalam kamus industri hiburan.

"Saya perlu ubah gaya nyanyian selaras keperluan pasaran dan permintaan pendengar muzik masa kini. Meskipun, melodi KenekKenek rancak dan laju, tetapi saya boleh menyanyikannya kerana sebelum ini saya pernah merakamkan lagu raya yang juga rancak berjudul Raikan Lebaran," katanya.

Bercerita pengalamannya bekerja dengan Dior atau pemilik nama sebenar Mohd Shahril Shaari, sejak mula masuk studio rakaman sehingga sekarang bersama-sama mempromosikan lagu itu, tiada masalah.

"Meskipun Dior adalah 'junior' saya dalam dunia hiburan, tetapi saya tetap menghormati dan sedia mendengar pendapatnya kerana dia pemuda yang rajin bekerja memajukan dirinya, tekun dan ada idea baru. Malah, dia sanggup 'turun padang' untuk bersama-sama mempromosikan lagu itu," katanya.

Kali terakhir Rozita menghasilkan album pada 2008 berjudul Kekal Abadi di mana dua lagu daripada album itu disisipkan dalam filem Sumpahan Puaka.

Sementara itu, Ellisan yang asalnya juru solek artis dan pernah menang tempat kedua pada pertandingan solekan Shu Eumura (2006), sudah ada dua album dalam bahasa Mandarin dan selepas mencipta populariti di kalangan peminat Tionghua, dia mahu mencuba nasib masuk ke gelanggang muzik Melayu. Perkenalannya dengan Dior membuka jalan untuknya.

"Album Mandarin pertama diterbitkan pada 2010 dan kedua pada 2012. Saya amat meminati muzik rancak lalu minta Dior buatkan lagu berentak dangdut berjudul Penipu Hati yang dimuatkan dalam album kedua. Diilhamkan daripada lagu itu juga, saya bersama rakan menerbitkan filem pendek berkisar cerita cinta.

"Sebelum ini, saya tiada peluang membuat persembahan depan penonton Melayu sehinggalah saya bertemu dengan Dior pada 2011 dan saya suka mendengar lagunya yang rancak dan 'catchy' lantas saya minta dia buatkan lagu untuk saya.

"Saya suka lagu dangdut kerana apabila mendengar atau menyanyikannya, ia membuatkan saya rasa gembira," katanya.

Sabtu ini (24 Januari) buat kali pertama Ellisan membuat persembahan di TV2, pada Konsert Dalam Dikir, jam 9 malam, bersama Dior dan Rozita.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 January 2015 @ 5:00 AM