DIOR menghiburkan tetamunya.
DIOR menghiburkan tetamunya.
SHAHANIM menyerahkan makanan dan wang kepada kelompok sasaran.
SHAHANIM menyerahkan makanan dan wang kepada kelompok sasaran.
SHAHANIM (belakang enam dari kiri) bergambar dengan artis jemputan.
SHAHANIM (belakang enam dari kiri) bergambar dengan artis jemputan.
Oleh Nor Akmar Samudin


Dalam urusan kebajikan, artis turut memainkan peranan penting kepada masyarakat kerana mereka sering dijadikan ikon terutama dalam kalangan remaja.

Menyedari perkara itu, Senator Shahanim Mohamad Yusoff menganjurkan Program Amal Gelandangan, Belia Bersama Artis Tabung Amal Banjir (Pray For Pantai Timur) di Laman Tuanku Abdul Rahman, Jalan Tuanku Abdul Rahman, KualaLumpur, baru-baru ini.

Turut menjayakan program itu ialah artis seperti Rabbani, Man Kidal, Syahrul Ridzwan, Rozita Rohaizad, Dior, Ellisan Tan, Ani Mayuni, Erry Putra, kumpulan Mego Boyz, Aesar Mustapha dan Kelly Azman.

Shahanim yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani berkata, dia terharu de­ngan sokongan artis terbabit yang tampil tanpa sebarang bayaran walaupun unda­ngan dibuat dalam masa singkat.

"Artis adalah ikon kepada anak muda dan mereka perlu menunjukkan contoh terbaik kepada peminat. Apa saja yang mereka lakukan menjadi ikutan. Lantas mereka perlu menggunakan peluang itu untuk bersama-sama mengajak peminat berbakti kepada masyarakat," katanya.

Menerusi program itu, selain mengumpul dana untuk mangsa banjir, beliau turut menyumbangkan makanan dan wang tunai kepada gelandangan untuk meringankan beban mereka.

"Menerusi program ini, saya dapat mengumpul RM4,000 yang digunakan untuk membeli periuk nasi dan pemanas air bagi diserahkan kepada mangsa banjir di pantai timur. Mereka memerlukan air yang bersih dan diharapkan dengan adanya pemanas air itu mereka boleh masak air sendiri.

"Kesan banjir bukan saja meragut nyawa dan meranapkan segala harta benda malah ia turut memberi kesan kepada kesihatan seperti penyakit bawaan air," katanya.

Sementara itu, Dior berkata, dia gembira dapat bersama-sama Shahanim menjayakan program itu dan ini bukanlah kali pertama dia menjayakan program seumpama itu.

"Bila-bila masa pun jika tidak sibuk dengan aktiviti seni, saya bersedia untuk turun pandang. Kerja kebajikan boleh dibuat dalam pelbagai cara, jika kita sendiri kekurangan wang, sumbangkanlah tenaga, masa untuk mende­ngar rintihan hati mereka dan sebagai penyanyi saya cuba untuk menghiburkan hati mereka dengan lagu nyanyian saya," katanya.

Menurutnya, dia juga bahagia melihat wajah gembira gelandangan yang mendapat makanan dan sumbangan wang daripada Shahanim.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 January 2015 @ 5:01 AM