Oleh Michelle Gun


Karnival Padat Harian Metro (HM) yang berlangsung dua hari di pekarangan Stadium Malawati Shah Alam bermula kelmarin menerima sambutan meriah.

Acara bermula jam 10 pagi itu menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung antaranya pertandingan karaoke, gusti lengan dan Battle of The Band yang menawarkan hadiah menarik.

Selain itu, pengunjung yang mengunjungi gerai HM berpeluang membawa pulang cenderahati apabila membeli akhbar dan melanggan e-paper HM. Malah, empat tiket menyaksikan Anugerah Industri Muzik ke-21 di Pusat Dagangan Dunia Putra yang berlangsung pada malam kelmarin diberikan kepada pengunjung bertuah.

Suasana karnival diserikan lagi dengan kehadiran artis jemputan pada sesi ramah mesra bersama peminat di gerai HM pada sebelah petang.

Artis yang hadir adalah kumpulan Chemistry, Ali'Din, Izzmad Harun, Hudza Mohamad, Syasha Idola Kecil, Kamaroz, Ikhwan Fatana, Redza Hamid, Emmet Azmir dan Syed Nazrul.

Ketua Kumpulan Chemistry, Farriz berkata, Karnival Padat HM membuka ruang kepada artis baru untuk memperkenalkan diri kepada umum.

"Banyak syarikat media menganjurkan karnival untuk menghargai pelanggan dan acara seperti ini secara tidak langsung membantu menaikkan nama artis serta peniaga yang turut terbabit," katanya.

Empat tahun dalam industri muzik, kumpulan itu mengambil kesempatan karnival berkenaan untuk mempromosikan single pertama mereka berjudul Cinta Infiniti.

"Ini lagu pertama kami selepas empat tahun menubuhkan kumpulan Chemistry. Sebelum ini kami hanya membuat persembahan lagu 'cover' di majlis," katanya.

Seperti kumpulan Chemistry, penyanyi Izzmad Harun turut melihat Karnival Padat HM sebagai platform baik untuk mempromosikan lagu dihasilkan.

"Sesi ramah mesra memberi peluang kepada saya untuk mendekatkan diri dengan peminat. Saya juga mempromosi serta mengedarkan cakera padat single pertama berjudul Cinta Di Hujung Dedaun.

"Selepas single ini, saya akan memulakan rakaman lagu baru berjudul Saat sekitar bulan ini," katanya.

Komposer dan penyanyi tanah air, Dior berkata, istimewa sempena Karnival Padat HM, dia mendendangkan single baru berjudul Kenekkenek yang turut menampilkan Rozita Rohaizad.

"Lagu ini baru siap dan belum didengarkan kepada sesiapa. Pengunjung bertuah kerana mereka orang pertama untuk mendengar single ini," katanya.

Menceritakan lanjut mengenai single itu, Dior berkata, Rozita mengajaknya berkolaborasi untuk lagu baru kerana ingin membuat kemunculan semula dalam industri seni.

"Single ini menampilkan bahagian korus kenek-kenek dan adalah lagu yang rancak dengan pop elektro," katanya.

Terdahulu, tempat juara pertandingan karoke dimenangi Rosiah Baharuddin yang membawa pulang wang tunai RM800.

Tempat kedua disandang Zarith Sachada Mohd Yasin (RM500) manakala tempat ketiga dimenangi Roseli Ibrahim (RM300).

Pemenang keempat dan kelima masing-masing menerima tunai sebanyak RM200 dan RM100. Sagu hati sebanyak RM50 turut diberikan kepada lima pemenang.

Selepas pertandingan karaoke, acara diteruskan dengan persembahan barisan artis kumpulan Chemistry, Ariessha Band, Ali'Din, Emmet Azmir, Izzmad Harun, Shasha Idola Kecil, Kamaroz, Dior dan Rozita Rohaizad.

Acara dimeriahkan lagi dengan persembahan Farazila Abd Jabar, Redza Hamid, Ikhwan Fatana, Ubie Band serta Abstrak Hingga Ke Bulan.

Selain persembahan artis, karnival itu turut dimeriahkan dengan barisan gerai penaja antaranya Maxis selaku penaja utama manakala Avon, I-Pmart, Burgerbyte serta Hemariton sebagai penaja bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Disember 2014 @ 5:00 AM