Kuala Lumpur: Panasonic Malaysia (Panasonic) menyasarkan pengukuhan jualan produk dan perkhidmatan teknologinya dalam segmen PanaHome bagi mencapai pendapatan RM450 juta dalam tempoh empat tahun akan datang.

Pengarah Urusan PanaHome Malaysia, Toshiro Baba berkata, segmen itu menunjukkan potensi pertumbuhan besar terutama bagi kumpulan secara keseluruhan.

“Kami menyasarkan untuk mencapai jualan RM30 juta bagi segmen PanaHome di Malaysia pada tahun ini,” katanya pada pelancaran segmen terbabit di Pameran Panasonic sempena Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau serta Produk Eko (IGEM) 2014 di sini, semalam.

Panasonic dan PanaHome merangkumi tiga elemen konsep hijau termasuk pembangunan bandar mapan, konsep dalaman dan rekaan rumah pintar serta konsep luar rumah.

Sementara itu, Pengarah Urusannya, Yosuke Matsunaga berkata, bagi mencapai sasaran terbabit, syarikatnya kini dalam proses membangunkan kilang PanaHome di negara ini.

“Kilang terbabit akan mengeluarkan produk PanaHome dan Malaysia menjadi negara pertama di rantau ini yang memilikinya,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai lokasi pembinaan kilang itu.

Panasonic kini dalam usaha menumpukan konsep hijau sebagai masa depan yang lebih realistik dengan menyokong pendekatan pembangunan baru berasaskan sistem tenaga boleh diperbaharui, mudah alih termaju, kesihatan siap terbina, keselamatan dan kecemasan.

Beberapa projek perintis kini sedang diuji di Jepun, China dan bakal diperkenalkan di Malaysia tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Oktober 2014 @ 5:03 AM