Oleh Nor Hafisya Fitri Mozli


Kuala Lumpur

PanaHome Malaysia, syarikat teknologi pembinaan dengan sokongan Panasonic Malaysia Sdn Bhd menjangkakan mencapai sasaran jualan RM450 juta dalam pasaran tempatan menjelang 2018.

Pengarah Urusannya, Toshiro Baba berkata, sebanyak RM30 juta disasarkan dari pasaran tempatan tahun ini.

"Sasaran berkenaan berikutan kedudukan syarikat yang mempunyai prestasi kukuh di Jepun dan telah berkembang secara strategik ke pasaran luar dengan Malaysia dan Taiwan sebagai perintis awal bagi pelaburannya," katanya pada sidang media sempena penampilan Panasonic dan PanaHome di pameran serta persidangan teknologi hijau dan produk ekologi antarabangsa Malaysia (IGEM2014) di sini, kelmarin.

IGEM 2014 yang akan diadakan pada 16 hingga 19 Oktober ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur akan dibahagikan kepada tiga segmen utama antaranya Perbandaran dan Konsep Pembangunan Perbandaran Pintar Lestari (SST), Pameran Struktur Rumah dan Konsep Dalaman serta Pameran Bahagian Luar Rumah.

Sementara itu, Pengarah Urusan Panasonic Malaysia, Yosuke Matsunaga berkata, pameran terbabit antara satu inisiatif untuk menuju ke arah sebuah platform cadangan baru iaitu dalam membentuk kediaman dan pembangunan perbandaran yang lestari.

"Inisaitif terbabit menjadikan Panasonic bukan saja syarikat yang hanya membekalkan produk elektrik dan elektronik untuk isi rumah serta industri seluruh negara sahaja, malah ia telah membina satu dimensi baru dalam jenamanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 5:09 AM