Kuala Lumpur: Misi wajib emas. Itu sasaran skuad hoki dalam dewan wanita negara (gambar) pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017), Ogos ini.

Keyakinan Iman Gobinathan itu dilahirkan selepas skuad bimbingannya muncul naib juara Piala Hoki Dalam Dewan Asia yang berlangsung di Doha, baru-baru ini.

Skuad negara tewas pada aksi final kepada Kazakhstan yang sememangnya hebat dalam acara hoki dalam dewan.

“Seperti yang anda ketahui, pasukan ini asalnya skuad pembangunan yang beraksi untuk hoki padang.

“Rata-rata pasukan lain yang beraksi di kejohanan itu pula memang pasukan hoki dalam dewan.

“Jadi bagi saya kejayaan melangkah ke final adalah satu kejayaan yang cukup baik dan menambah keyakinan kami untuk memenuhi sasaran meraih emas Sukan SEA,” katanya.

Jelas Iman, beliau menjangkakan Thailand dan Indonesia bakal menjadi pencabar utama skuad negara di KL2017.

“Ini kerana mereka memang mempunyai pasukan hoki dalam dewan dan kerap beraksi di kejohanan utama.

“Tapi kami juga mempunyai matlamat untuk menang emas.

“Walaupun sukar kami tidak tetap tidak berganjak daripada sasaran utama ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2017 @ 9:47 AM