SKUAD hoki lelaki dijangka tiada masalah sumbang emas buat negara.
SKUAD hoki lelaki dijangka tiada masalah sumbang emas buat negara.
Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dilihat benar-benar serius untuk memastikan empat emas mampu diraih apabila mengumumkan barisan pemain terkuat pasukan hoki padang dan dalam dewan lelaki serta wanita.

Menerusi pengumuman semalam, tumpuan pastinya lebih terarah kepada pasukan hoki lelaki yang menyaksikan rata-rata pemain beraksi di Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London, Jun lalu akan beraksi di temasya dwitahunan itu.

Pada saingan itu, skuad bimbingan Stephen Van Huizen menamatkan kempen di tempat keempat sekali gus layak beraksi di Piala Dunia di Bhubaneswar, India tahun depan.

Hanya tiga nama tidak tersenarai untuk saingan kali ini, iaitu pakar pukulan sudut penalti Muhammad Najmi Farizal Jazlan yang beraksi bersama skuad dalam dewan manakala dua penyerang Muhammad Firhan Ashari serta Muhammad Haziq Samsul tidak disenaraikan.

Menggantikan ketiga-tiga tempat pemain itu adalah pemain yang tidak beraksi di London - Muhammad Rashid Baharom, Joel Samuel Van Huizen dan Muhammad Ramadan Rosli.

Mengulas pengumuman senarai 18 pemain terbaik itu, kapten Malaysian Tigers Mohamad Sukri Abdul Mutalib mengakui Malaysia perlu memenuhi misi wajib menyumbang emas untuk kontinjen negara.

“Saya juga agak terkejut dengan senarai barisan pemain terpilih kali ini kerana rata-rata mereka adalah pemain utama dan beraksi di Separuh Akhir Liga Hoki Dunia.

“Saya sendiri cukup teruja untuk beraksi kerana ini penampilan pertama saya di Sukan SEA,” katanya dihubungi semalam.

Sukri bagaimanapun menegaskan, dia serta rakan sepasukan sama sekali tidak memandang mudah setiap lawan yang akan ditemui nanti.

“Walaupun satu tahap lebih unggul di Asia Tenggara, saya sering ingatkan rakan sepasukan jangan memandang mudah cabaran setiap lawan.

“Sebab jika berlaku kelekaan, ia akan memberi kesan yang besar kepada kami,” katanya.

Skuad hoki padang wanita pula menyaksikan ketua jurulatih Muhammad Dhaarma Raj Abdullah menyenaraikan Surizan Awang Noh dan Nuramirah Syakirah Zulkifli untuk menggantikan Fazilla Sylverster Silin dan Nur Zafirah Aziz.

Bagi skuad wanita dalam dewan pula, tiga pemain yang sebelum ini beraksi dalam hoki padang iaitu Nurul Safiqah Mat Isa, Fatin Naimah Zaki dan Rabiatul Adawiyah Mohamed tersenarai bagi membantu memperkuatkan barisan pemain dalam dewan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2017 @ 10:22 AM