SKUAD hoki dalam dewan  wanita sudah sedia gegar KL2017.
SKUAD hoki dalam dewan wanita sudah sedia gegar KL2017.

Kuala Lumpur: Walaupun hasrat untuk mengadakan perlawanan kompetitif dengan pasukan Australia Barat tidak kesampaian, skuad hoki dalam dewan lelaki dan wanita negara tetap optimis persiapan ke Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) tidak terganggu.

Sebaliknya kedua-dua pasukan itu terus kekal yakin dua pingat emas mampu disumbang pada temasya dwitahunan itu yang bermula 19 Ogos ini.

Kegagalan untuk mengatur pertemuan dengan Australia Barat menyaksikan Singapura tampil selaku pengganti untuk perlawanan fasa akhir kedua-dua skuad negara sebelum beraksi pada perlawanan sebenar.

“Sepatutnya kami mengadakan perlawanan persahabatan dengan Australia Barat tapi tak jadi. Saya tak berapa pasti apa sebabnya.

“Singapura akan datang ke Malaysia tiga minggu lagi dan mereka sememangnya mahu mengadakan perlawanan persahabatan.

“Saya sudah beritahu kepada MHC (Konfederasi Hoki Malaysia) kami memerlukan lebih banyak lagi perlawanan persahabatan sebab tanpanya kami tidak tahu di mana tahap sebenar kekuatan skuad negara,” kata ketua jurulatih skuad wanita Iman Gobinathan semalam.

Bagi ketua jurulatih skuad lelaki Muhammad Amin Rahim, anak buahnya akan mengadakan tiga perlawanan persahabatan dengan Singapura.

“Mereka juga akan hadir dalam tempoh tiga minggu lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2017 @ 9:12 AM