Ahmad Abu Bakar
Ahmad Abu Bakar
Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Syarikat pemaju hartanah tempatan, UDA Holdings Berhad (UDA) menerusi anak syarikatnya di selatan tanah air, UDA Land (South) Sdn Bhd menyasarkan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) jualan hartanah di Johor mencecah RM67 juta tahun ini.

Pengarah Urusan Kumpulan UDA Datuk Ahmad Abu Bakar berkata, sasaran itu membabitkan pelbagai unit kediaman termasuk projek pembangunan baru, Rosa Terraces di Bandar UDA Utama, di sini.

Beliau berkata, UDA Land (South) Sdn Bhd sebagai sebuah pemaju hartanah sebaris dengan pemaju hartanah terkenal di Malaysia sebelum ini berjaya membangunkan Bandar Baru UDA di tanah seluas 190.2 hektar, diikuti pembangunan projek lain seperti Pusat Bandar Tampoi, UDA Business Centre dan kini, Bandar UDA Utama dengan keluasan 190.17 hektar.

“Sekarang ini, UDA Land (South) Sdn Bhd menawarkan rumah teres dua tingkat di Plumeria Avenue di Bandar UDA Utama di mana separuh daripada 112 unit yang ditawarkan sudah dijual.

“Pada suku keempat tahun ini, kami akan membuka pendaftaran untuk jualan rumah teres dua tingkat, kedai pejabat dua atau tiga tingkat dan rumah superlink dua tingkat di Bandar UDA Utama dengan nama Rosa Terraces,” katanya selepas Pelancaran Cabutan Bertuah Ulangtahun ke-20 Angsana Johor Bahru Mall, di sini, kelmarin.

Menurutnya, Rosa Terraces akan menawarkan 63 unit rumah teres dua tingkat mencecah kos jualan RM42 juta serta 37 rumah kedai (RM30 juta).

Pada masa sama, beliau berkata, UDA kini dalam proses membeli lebih banyak tanah terutama di negeri ini termasuk di Bandar Penawar dan Skudai Kiri, Johor Bahru bagi tujuan projek pembangunan bercampur.

“Sekarang ini UDA mempunyai tanah seluas 607 hektar dan kita membeli 202 hektar tanah di Pahang.

“Di Bandar UDA Utama, kita masih ada lagi kira-kira 80.94 hektar tanah dan di Johor, mungkin akan ada tambahan tanah di Desaru seluas 40.47 hektar.

“Di Bandar Penawar, ada 0.40 hektar tanah manakala di Skudai Kiri masih dalam perancangan kerana 12.14 hektar adalah tanah milik kerajaan negeri dan 12.14 hektar adalah tanah setinggan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap dapat memindahkan penduduk setinggan ke tempat lebih selesa supaya pihaknya dapat membangunkan tanah yang dijangka menjadi tarikan kerana terletak berhampiran Danga Bay.

Pada masa sama, beliau berkata, melihat kepada pasaran hartanah yang perlahan ketika kini, pihaknya merancang membina rumah mampu milik dan akan menumpukan 70 hingga 80 peratus untuk Bumiputera.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 4:45 AM