RUANG makan moden untuk seisi keluarga.
RUANG makan moden untuk seisi keluarga.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


KETIKA harga hartanah terus melambung tinggi di kawasan bandar, impian rakyat Malaysia untuk memiliki rumah sendiri nampaknya semakin mencabar.

Walaupun terdapat rumah dalam anggaran purata, ia biasanya terlalu sempit untuk menampung keperluan yang semakin bertambah bagi sebuah keluarga moden.

Untuk itu, pemaju hartanah IJM Land mengambil langkah untuk menyelesaikan masalah itu dengan menawarkan pilihan rumah sesuai.

Terletak di dalam perbandaran bersepadu sepenuhnya Seremban 2, Rimbun Aman antara beberapa projek terbaharu di bawah kategori rumah mampu milik.

Merentasi 16.996 hektar tanah pegangan bebas, Rimbun Aman terdiri daripada 304 unit rumah bersambung satu tingkat, mencatatkan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM125 juta.

Dengan harga bermula dari RM 350,000, binaan binaan antara 971 hingga 1,135 kaki persegi, kediaman itu adalah mampu milik.

Setiap unit dilengkapi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik mandi serta rekaan dalaman yang menarik.

Pengurus Besar Kanan ( Wilayah Tengah), Datuk Hoo Kim See berkata, pihaknya percaya keluarga adalah harta paling berharga yang boleh dimiliki dalam hidup.

Oleh itu, rumah yang baik adalah rumah yang mampu menampung semua di dalamnya.

"Bukan itu sahaja, rumah juga berfungsi sebagai pemangkin interaksi keluarga.

"Hiasan kediaman ini adalah satu simbol kepada pembeli bahawa tanpa mengira ruang, kita boleh bersatu dan bersama dalam persekitaran yang penuh kasih sayang," katanya.

REKAAN ruang tamu yang selesa untuk seisi keluarga.
REKAAN ruang tamu yang selesa untuk seisi keluarga.

BILIK tidur utama yang luas.
BILIK tidur utama yang luas.

Dalam pada itu, memandangkan unit kediaman itu mempunyai siling yang tinggi, adalah mudah untuk mengubah bilik tidur menjadi konfigurasi katil berbilang tingkat bagi membolehkan ruang kepala dan ruang simpanan yang mencukupi.

Contohnya bilik tidur kedua yang mempunyai katil super single dua tingkat, membolehkan dua orang tidur dengan selesa dalam pelbagai posisi.

Dari perspektif makro, perumahan itu berada dalam lokasi yang strategik, untuk sinergi dengan alam semula jadi dan persekitaran binaan.

Pusat penjagaan kesihatan berada dalam jarak pemanduan dan kawasan perbandaran itu juga dilengkapkan lagi dengan pusat membeli-belah, kemudahan pendidikan yang berdekatan sekali gus membentuk ekosistem hidup, bekerja serta bermain yang seimbang.

Jika menyelusuri laluan indah di Taman Bandar seluas 6.07 hektar, penduduk boleh melakukan pelbagai aktiviti antaranya bermain bola keranjang, layang-layang, tai chi dan banyak lagi.

Tasik seluas 1.6 hektar (empat ekar) membentuk perhubungan taman dan suasananya yang damai juga menyajikan panorama indah.

Taman bukit seluas 12.14 hektar pula menempatkan kawasan permainan mini bertemakan dinosaur, tempat untuk keluarga dengan anak-anak berehat dan beriadah.

Bagi yang berminat melakukan senaman lasak pula boleh mendaki Bukit Kepayang, sebuah denai kembara yang terkenal dalam kalangan penggemar rentas hutan.

Jika aktiviti luar bukan gaya, kunjungilah ke Kelab S2, sebuah kelab rekreasi dan kompleks sukan bertemakan komuniti yang pasti menghiburkan.

Paling penting, penduduk juga mempunyai akses mudah ke Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS), menjadikannya hanya 45 minit pemanduan ke Kuala Lumpur.

Bukan itu sahaja, terdapat juga jalan bebas tol yang menghubungkan terus ke Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2).

Semua kemudahan itu disediakan bagi mewujudkan persekitaran sempurna untuk keluarga menjalani kehidupan yang harmoni.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 6:41 AM