PROJEK Pisonia Ville 2 di Bandar Uda Utama.
PROJEK Pisonia Ville 2 di Bandar Uda Utama.
BERNAMA

Johor Bahru: Sebanyak 85 peratus daripada 53 unit rumah teres dua tingkat Pisonia Ville 2 di Bandar Uda Utama di sini sudah mempunyai pembeli meskipun pembinaannya baru bermula bulan ini.

Pengerusi UDA Holdings Bhd (UDA) Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, perumahan yang dibangunkan di atas kawasan seluas 2.08 hektar itu menawarkan pilihan kondusif dan ruang yang luas iaitu lima atau enam bilik tidur dengan harga seunit bermula daripada RM732,000.

Beliau berkata, sambutan sangat baik yang diterima pihaknya menunjukkan penduduk Johor mengiktiraf pembangunan UDA.

"Setakat semalam, lebih 500 orang sudah bertanyakan mengenai Pisonia Ville 2 dan kita ada 53 unit sahaja.

"Buat masa ini, daripada kesemua unit yang kita akan lancar dalam masa terdekat, 85 peratus sudah mempunyai pembeli yang secara kasarnya mengesahkan pembelian dan kita hanya ada baki sedikit sahaja lagi," katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media majlis Meriah Raya dan pelancaran unit rumah contoh Pisonia Ville 2 anjuran UDA Land South Sdn Bhd di sini.

Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Mohd Salem Kailany; Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Pembangunan Hartanah) UDA, Noor Azmi Salleh dan Ketua Pegawai Operasi UDA Land South, Muhammad Ismail Dasuki.

Norliza berkata, kediaman berstatus pegangan kekal itu turut mengutamakan keluasan sebagai faktor penting untuk keluarga besar.

Pembinaannya terletak di lokasi strategik di Bandar Uda Utama, iaitu antara perbandaran yang dibangunkan oleh UDA, selain dikelilingi pelbagai kemudahan komuniti seperti bank, sekolah, pasar raya dan hospital.

Beliau berkata, pembinaan Pisonia Ville 2 dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga 2024.

"Pisonia Ville 2 ini merupakan sambungan daripada pakej pertama yang habis dijual dalam tempoh agak singkat. Justeru, ia memberikan motivasi lagi kepada UDA untuk kita mulakan fasa ketiga pula, yang dijangka bermula pada suku pertama tahun depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2022 @ 12:27 PM