JUVENTUS ketika kali terakhir memenangi Piala Itali.
JUVENTUS ketika kali terakhir memenangi Piala Itali.
AFP

Milan: Pemain tengah Juventus, Claudio Marchisio menegaskan kelab gergasi Turin itu fokus sepenuhnya untuk menamatkan penantian 20 tahun menjulang Piala Itali menentang Lazio awal pagi esok sekalipun final Liga Juara-Juara menentang Barcelona semakin hampir.

Juventus yang mempertahankan kejuaraan liga dua minggu lalu, masih kekal berpeluang merebut tiga trofi musim ini.

Jika berjaya, Juventus akan menyamai pencapaian Inter Milan kendalian Jose Mourinho pada 2010.

Juventus berdepan Barcelona di Berlin pada 6 Jun ini dengan impian memenangi pertandingan kelab utama Eropah itu bagi kali ketiga, namun Marchisio menegaskan mereka amat fokus untuk memenangi ‘Coppa Italia’ pertama sejak 1995.

“Sasaran nombor satu kami ketika ini Coppa Italia. Selepas itu baru kami mula memikirkan mengenai Liga Juara-Juara,” ujar Marchisio.

Jurulatih Juve Massimiliano Allegri berkata minggu lalu: “Layak ke final Liga Juara-Juara satu pencapaian hebat, tapi kami tidak boleh melupakan satu lagi objektif penting, Coppa Italia yang tidak dimenangi Juventus selama 20 tahun.”

Marchisio yang menyumbat gol penalti hujung minggu lalu apabila Juve bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan Inter Milan 2-1 di San Siro, seorang daripada dua pemain utama yang terpaksa diketepikan Allegri pada perlawanan awal pagi esok.

Alvaro Morata, penyerang Sepanyol yang menyumbat gol penyamaan menentang Real Madrid sekali gus memberikan Juve kemenangan pada separuh akhir kedua Liga Juara-Juara, turut tidak boleh beraksi kerana penggantungan.

Namun, Allegri mempunyai skuad mantap selepas merehatkan beberapa pemain utama termasuk Gianluigi Buffon, Patrice Evra, Andrea Pirlo, Arturo Vidal dan Carlos Tevez ketika menang di San Siro.

Bagaimanapun Juventus berdepan Lazio yang semakin meningkat sejak kalah 0-3 pada pertembungan liga di Stadio Olimpico hujung November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2015 @ 2:29 PM