PEMANDU Mercedes, Lewis Hamilton. FOTO Reuters
PEMANDU Mercedes, Lewis Hamilton. FOTO Reuters
AFP

SOCHI, Russia: Pendahulu kejuaraan Formula Satu (F1) dunia, Lewis Hamilton bangkit merakam masa terpantas bagi mengatasi rakan sepasukan di Mercedes, Valtteri Bottas pada sesi ujian bebas kedua Grand Prix (GP) Russia, hari ini.

Juara dunia empat kali dari Britain itu mencatat masa terpantas sepusingan dengan catatan 1 minit 33.385 saat bagi mengatasi Bottas di Litar Sochi Autodrom ketika pemandu Ferrari, Sebastian Vettel sekadar kelima terpantas.

Vettel sebelum itu beraksi cemerlang apabila muncul pemandu terpantas pada sesi pertama tetapi gagal mengekalkan momentum pada sesi yang berlangsung sebelah tengah hari (waktu tempatan).

Pemandu Red Bull, Max Verstappen dan Daniel Ricciardo masing-masing menjadi pemandu ketiga dan keempat terpantas sekali gus mengatasi Vettel dan rakan sepasukannya Kimi Raikkonen.

Sergio Perez yang beraksi bersama Force India di kedudukan ketujuh, mengatasi Pierre Gasly dari Toro Rosso dan Esteban Ocon manakala Marcus Ericsson (Sauber) di kedudukan ke-10.

Vettel terdesak untuk merangkul gelaran di Russia bagi merapatkan jurang dengan Hamilton selepas ketinggalan 40 mata di kedudukan kejuaraan dunia.

Hamilton sebelum ini mengukuhkan kedudukannya dengan muncul juara empat daripada lima perlumbaan terakhir termasuk kejayaan di Itali dan Singapura.

"Kami dilihat masih jauh ketinggalan dengan pasukan lain, ini bukan situasi yang baik. Ini bukan hari yang baik untuk kami, kami perlu perbaiki kelemahan dengan segera," kata Vettel.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 September 2018 @ 12:34 AM