Zulfa Mohamad


Kepala Batas: Rangka manusia purba yang ditemui ketika kerja korek tanah untuk pembinaan Pusat Arkeologi Guar Kepah, di sini, Isnin lalu, dipercayai wanita kerana saiznya yang kecil.

Bagaimanapun, ia belum dianalisis sepenuhnya untuk menentukan jantina serta pelbagai fakta lain.

Keadaan tangan diikat ke dada dan diletakkan dalam keadaan mengiring di bahagian kanan sebelum dikebumi bersama tembikar serta peralatan memburu juga didapati seiring dengan adat masyarakat purba sekitar 5,000 hingga 6,000 tahun dulu.

Itu antara rumusan awal mengenai rangka yang ditemui di Tapak Arkeologi Guar Kepah yang dipercayai kawasan penempatan terawal manusia di Seberang Prai sebelum Pulau Pinang ditemui Kapten Francis Light pada 1786.

Cara pengebumian itu dikatakan hampir sama dengan cara diamalkan komuniti di pulau Sumatera, Indonesia sekitar 5,000 tahun lalu iaitu mayat ditimbus dengan kulit kerang.

Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin berkata, tembikar serta alat pemburuan ditanam bersama mayat kerana komuniti terbabit mempercayai ada kehidupan di alam lain.

"Rangka ditemui di Guar Kepah dipercayai ditanam mengikut adat masyarakat purba iaitu tangan diikat dan diletakkan pada posisi kanan sebelum ditimbus dengan kulit kerang atau kepah,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Rangka yang ditemui di tapak C itu adalah yang ke-10 selepas sembilan rangka ditemui pengkaji Inggeris di tapak sama pada 1860 dan kini ditempatkan di Leiden, Belanda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2017 @ 5:35 PM
Mokhtar memeriksa rangka manusia purba yang dijumpai pasukannya ketika menjalankan kajian di tapak sebuah rumah di Kampung Guar Kepah, Kepala Batas. FOTO Amir Irsyad Omar
Mokhtar memeriksa rangka manusia purba yang dijumpai pasukannya ketika menjalankan kajian di tapak sebuah rumah di Kampung Guar Kepah, Kepala Batas. FOTO Amir Irsyad Omar