Sulaiman (tengah) menunjukkan pistol mainan yang dirampas dalam sidang media di IPD Johor Bahru Selatan. FOTO  Mohd Azren Jamaludin
Sulaiman (tengah) menunjukkan pistol mainan yang dirampas dalam sidang media di IPD Johor Bahru Selatan. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Ibrahim Isa


Johor Bahru: Polis menahan sepasang kekasih di Larkin, di sini, Selasa lalu, kerana bertanggungjawab memecah masuk 16 rumah di sekitar bandaraya ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, lelaki berusia 24 tahun dan teman wanitanya berusia 23 tahun ditahan dalam serbuan jam 3 pagi hasil maklumat orang ramai dan intipan ke atas sebuah flat.

"Hasil serbuan, kami menemui lima telefon bimbit, empat resit pajak gadai, satu pistol mainan dan beberapa barangan hasil pecah rumah.

"Siasatan mendapati, pasangan itu aktif memecah masuk rumah di sekitar Kulai, Iskandar Puteri dan Johor Bahru. Mereka mengaku memecah masuk 16 rumah sejak beberapa minggu lalu," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini, hari ini.

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah dan masing-masing mempunyai tiga rekod kesalahan lampau berkaitan curi, dadah dan pecah rumah.

Katanya, pasangan kekasih itu direman hingga 22 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata menyerupai senjata api dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 5:54 PM