Antara barang rampasan yang dirampas daripada dua suspek kes pecah masuk rumah dan curi, awal pagi tadi. FOTO IHSAN POLIS
Antara barang rampasan yang dirampas daripada dua suspek kes pecah masuk rumah dan curi, awal pagi tadi. FOTO IHSAN POLIS
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Polis menahan dua lelaki masing-masing warga Indonesia dan tempatan, selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pecah masuk rumah dan curi, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi itu, suspek warga asing berusia 30 tahun dan warga tempatan berusia 35 tahun itu ditahan di Lorong Betik dekat Tampoi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, pihaknya bertindak atas maklumat dan hasil risikan berjaya menangkap suspek dipercayai terbabit dalam kes pecah masuk rumah dan curi di sekitar daerah ini.

"Hasil soal siasat awal, kedua-dua suspek mengaku terbabit dalam kes pecah masuk rumah di daerah ini termasuk di kawasan Tongkang Pecah, Batu Pahat.

"Mereka mengaku pecah masuk rumah dengan cara mengumpil pintu 'sliding' rumah mangsa," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu, polis turut membuat beberapa rampasan antaranya beberapa jam tangan pelbagai jenama serta peralatan-peralatan disyaki digunakan untuk melakukan kegiatan jenayah itu.

Katanya, kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga 25 Februari ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 453 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan rumah secara bersembunyi atau pecah rumah.

"Hasil semakan rekod mendapati suspek warga Indonesia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah, manakala suspek warga tempatan mempunyai lima rekod lampau.

"Kita juga sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti jika terdapat kes-kes lain yang membabitkan suspek sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2023 @ 4:39 PM