FOTO hiasan.
FOTO hiasan.
Nurul Hidayah Bahaudin


LIMA lelaki ditahan ketika cuba memecah masuk sebuah rumah di Jalan Bunga Melati, Taman Seraya, Ampang, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki berusia 30 tahun pada 3.30 pagi.

"Lelaki itu memaklumkan dia sedang tidur di rumahnya dan dikejutkan dengan bunyi benda terhempas.

"Dia melihat kelibat dua lelaki mencurigakan sedang memanjat tiang untuk masuk ke dalam rumah jiran sebelum menghubungi pihak polis bagi mendapatkan bantuan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Azmi berkata, sepasukan polis tiba di lokasi dan memanjat bumbung rumah itu lalu menahan dua lelaki sedang bersembunyi di tepi tangki air di atas bumbung.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki itu yang juga pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa- Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) masing-masing berusia 26 dan 30 tahun bertindak agresif hingga menyebabkan berlaku pergelutan.

"Kami turut merampas dua pemutar skru dan satu playar gabung disyaki digunakan untuk menjalankan jenayah pecah rumah.

"Hasil tindakan lanjut, kami menahan tiga lelaki yang juga pemegang kad UNHCR berusia antara 21 hingga 41 tahun dengan seorang daripada mereka memiliki rekod jenayah berkaitan kes pecah rumah.

"Dalam serbuan itu, kami merampas dua pemutar skru dan satu playar gabung yang disyaki digunakan untuk menjalankan jenayah pecah rumah," katanya.

Beliau berkata, antara barangan dirampas adalah lapan telefon bimbit, beg, beberapa wang tunai mata wang rupiah, satu pasport, satu komputer riba, dua surat pajak gadai, dua kenderaan iaitu Nissan Sentra dan Proton Persona selain pelbagai peralatan pecah rumah serta barang-barang disyaki hasil pecah rumah.

Menurutnya, polis percaya dapat menyelesaikan lima kes kejadian pecah rumah yang berlaku di sekitar Ampang Jaya dengan penahanan semua suspek berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 453 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2020 @ 11:42 PM