SUSPEK yang ditahan polis, hari ini. FOTO Ihsan pembaca.
SUSPEK yang ditahan polis, hari ini. FOTO Ihsan pembaca.
Hazira Ahmad Zaidi


LELAKI memiliki 10 rekod jenayah yang melarikan diri dalam serbuan polis, akhirnya berjaya ditahan di Kampung Jelor, Pasir Puteh, pada 12 tengah hari tadi.

Terdahulu, suspek berusia 36 tahun itu meloloskan diri ketika serbuan di sebuah pondok di Kampung Padang Mengkali, Melor, kira-kira 4.30 petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris berkata, dalam kejadian itu, suspek bertindak agresif dan cuba melibas parang ke arah anggota yang mahu memeriksanya.

“Bagi mempertahankan diri, seorang anggota melepaskan tembakan dan terkena pada tangan kiri suspek.

“Suspek melarikan diri dengan mencuri motosikal penduduk yang keluar dari masjid, sebelum meninggalkan motosikal yang dicuri pada jarak satu kilometer,” katanya ketika dihubungi.

Wan Khairuddin berkata, suspek mempunyai rekod jenayah termasuk kes dadah, memiliki senjata merbahaya, curi, khianat dan pecah rumah.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awam, suspek berjaya ditahan di sebuah rumah dan siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 6:36 PM