Jamil Khir menyerahkan replika cek peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada Ghazali. FOTO Syafiq Ambak
Jamil Khir menyerahkan replika cek peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada Ghazali. FOTO Syafiq Ambak
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Elaun imam dan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Terengganu masing-masing akan dinaikkan daripada RM750 kepada RM850 serta RM800 ke RM900 sebulan dalam masa terdekat.

Exco Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib berkata, seramai 1,869 imam dan 6,545 guru KAFA di negeri itu akan menikmati faedah kenaikan elaun terbabit.

Menurutnya, seramai 1,017 bilal pula akan memperolehi imbuhan 'one off' sebanyak RM500 seorang pada tahun ini membabitkan peruntukan sebanyak RM508,500.

"Kami berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang memberi peruntukan sebanyak lebih RM50 juta kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan pemberian elaun baru ini nanti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup Program Multaqa Murabbi Ummah Terengganu 2017 di sini, hari ini yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2017 @ 3:27 PM